Pengajian ‘Ilmiyyah – Islām Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu: Kajian Manuskrip Jāwī

Siri pertama Pengajian ‘Ilmiyyah – Islām dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu: Kajian Manuskrip Jāwī telah sempurna dilaksanakan pada 19-21 April 2013. Setelah hampir dua bulan panitia jawatankuasa bertungkus lumus merancang dan merencana program – al-Ḥamdu li-Allāh – Pengajian Ilmiyyah ini mendapat sambutan yang memberansangkan.

Pengajian ‘Ilmiyyah ini dianjurkan oleh Klasika Media dengan kerjasama Perbadanan Kota Buku dan Pusat Perkembangan Pengajian Islam, Sains dan Peradaban (CASIS) UTM. Sekurang-kurangnya 100 orang peserta datang menyertai termasuklah dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Brunei; pensharah Bahasa Melayu dari Singapura, pelajar Indonesia di Malaysia, wakil dari beberapa agensi kerajaan seperti Kota Buku, Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, perpustakaan negeri, pelajar peringkat sarjana dan kedoktoran; pensharah dan penggiat khat tanah air.

Program bermula pada Jumaat dengan acara perasmian oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan selaku Ahli Lembaga Pengarah Kota Buku. Acara perasmian turut dihadiri oleh Prof. Dr. Wan Mohd Noor Wan Daud (Pengarah CASIS), En. Razin Abd Rahman (Pengurus Kanan, Kota Buku) dan Puan Norhayati Razali (Pengurus, Jabatan Pembangunan Industri Buku).


Sejurus selepas majlis perasmian, Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman membentangkan sharahan pertama dengan tajuk Pandangan ‘Ālam Islām. Beliau menekankan tentang pentingnya membetulkan pandangan ‘alām Islām yang merujuk kepada gambaran akal budi insan tentang ‘alām tabi‘ī yang terhasil dari renungan falsafah dan ‘ilmiyyah.

Sharahan kedua selepas solat Jumaat disampaikan oleh Dr. Arba‘iyah Mohd Noor, pensharah dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Sharahan beliau bertajuk Menelusuri Manuskrip Jāwī yang membicarakan tentang manuskrip ‘alām Melayu sebagai warisan bangsa yang perlu dipertahankan.

Pada hari kedua, Prof. Madya Dr. Tatiana Denisova dari Jabatan Sejarah dan Tamadun Islām, Akademi Pengajian Islām, Universiti Malaya menyampaikan sharahan bertajuk Historiografi ‘Alām Melayu. Beliau membawa peserta mengenali manuskrip yang terdapat di ‘alām Melayu serta sumber-sumber persuratan Islām yang boleh dijadikan bahan kajian.


Sharahan keempat pada sebelah petangnya disampaikan oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran yang  merupakan Felo di Institut Kefahaman Islām Malaysia (IKIM). Sharahan beliau bertajuk Kemahiran dan Kefasihan Jāwī memperkenalkan kepada peserta akan sejarah ringkas peralihan tulisan Jāwī ke Rūmī yang merupakan sebahagian dari proses sekularisasi dan pembaratan ‘ilmu. Beliau juga menunjuk ajar secara ringkas proses transliterasi menggunakan piawaian ejaan yang digunakan oleh American Library Association-Library of Congress (ALA-LC).

Sharahan terakhir pada hari Sabtu disampaikan oleh Dr. Syamsuddin Arif yang merupakan Profesor Madya di CASIS. Sharahan beliau berjudul Khat dan Naskhah Jāwī memperkenalkan kepada peserta jenis-jenis khat dan cara membaca tulisan Jāwī yang pelbagai. Dalam masa yang sama, peserta juga diuji membaca tulisan Jāwī dalam pelbagai bahasa Polynesia seperti bahasa Jawa, Acheh, Melayu, Minang, Bugis, Sunda. Beliau juga memberi tugasan kepada peserta untuk menulis kembali dalam tulisan Rūmī, naskhah manuskrip yang terdapat di dalam lampiran sharahan.

Siri pengajian ilmiah ini berakhir jam 12 tengahari dengan satu majlis penutup ringkas yang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Klasika Media, Muhammad Syukri Rosli. Beliau turut memaklumkan tentang projek transliterasi yang sedang dijalankan oleh Klasika Media dan mengalu-alukan peserta mendaftar sebagai transliterator untuk sama-sama terlibat dalam projek transliterasi ini.

Pendaftaran untuk bengkel transliterasi yang akan diadakan dalam masa terdekat ini dibuka kepada peserta yang mengikuti siri pertama Pengajian ‘Ilmiyyah. Semoga siri ini dapat membantu peserta mengenali dan memberi pendedahan awal terhadap manuskrip dan proses transliterasi yang akan mereka sertai nanti.