By Rizky Febrian

Phd. Candidate (2014 – ) di RZS-CASIS

Segalanya bermula di sini…

Perjalanan ini bermula dari sebuah kesedaran seorang insan atas kejahilan diri sendiri, kemudian keperluannya untuk merancang suatu usaha agar dapat keluar daripada kepompong kejahilan diri tersebut. Jika perkara itu dapat diselesaikan, barulah setiap individu dapat menyumbang kepada pembangunan ummah berdasarkan kerangka yang benar sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam.

Selepas perjalanan panjang pencarian makna diri dan apa diperlukan serta yang patut dilakukan, saya mendapati bahawa gagasan yang telah dirumuskan oleh Profesor al-Attas telah banyak memberikan jawapan atas banyak persoalan yang selama ini dicari. Oleh itu, mendalami secara lebih terperinci berkenaan Pandangan Alam Islam yang telah dirumuskan oleh Profesor al-Attas merupakan perkara yang mustahak. Pada peringkat awal (tahun 2011), WISE adalah salah satu jalan menuju ke arah itu. Dari sana lah perjalanan seterusnya bermula.

Road to CASIS

Selepas menyertai Siri Pandangan Alam Islam (WISE 2011), saya mendapati banyak lagi perkara-perkara yang perlu dipelajari dan diperhalusi ke dalam perbincangan yang lebih khusus, serta memerlukan guru berwibawa yang dapat membimbing ke arah kefahaman yang benar. Atas cadangan daripada Dr. Syamsuddin Arif, saya dan beberapa rakan yang lain menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di CASIS. AlḥamdulilLāh, saya secara rasminya menjadi pelajar CASIS pada tahun 2014. Namun, perjalanan untuk mewujudkan perancangan sebelum ini tidak semudah yang dibayangkan. Selain masalah kelemahan dan kekurangan diri dan keilmuan, cabaran kewangan juga perkara yang juga dirisaukan untuk meneruskan pengajian. Apatah lagi, pada tahun yang sama ketika mendaftar, saya baru membina rumah tangga dan juga menghadapi beberapa masalah keluarga.

Pada asasnya, meneruskan pengajian hingga peringkat PhD di luar negara memang tidak mudah, apatah lagi tanpa biasiswa. Namun, bukan bermakna ianya tidak mungkin. Setiap bulannya, terkadang (atau bahkan seringkali), masalah yang dihadapi kurang lebih sama: sewa rumah, bil air dan elektrik, keperluan makan-minum, pengangkutan, simpanan yuran pengajian dan dan keperluan yang lainnya. Bagi yang sudah berkeluarga dan memiliki anak, tentu saja keperluan-keperluan tersebut akan bertambah. Secara zahirnya, mungkin kita melihat semua itu sebagai halangan. Tetapi pada hakikinya, itu merupakan sebuah bahagian dari ‘latihan’ untuk menghadapi dunia yang lebih nyata setelah selesai pengajian nanti. Kita dapat mengeluh atas kelemahan dan beratnya kesusahan yang dihadapi, namun itu tidak akan menyelesaikan masalah yang ada. Oleh itu, kesemuanya itu perlu dihadapi dan diselesaikan, serta yakinlah kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, kepada sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya. Sebelum memulakan langkah, terlebih dahulu tanya pada diri kita, apa tujuan kita menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi? Jika tujuannya hanya untuk mendapatkan ‘gelar’, ‘jawatan yg tinggi’ dan ‘gaji yang besar’, maka kita tidak akan merasakan nikmatnya proses menuntut ilmu yang sesungguhnya.

Jika niat dan tujuan belajar sudah jelas dan benar, maka apa jua cabaran dan halangan yg datang, kita akan lebih siap untuk menghadapinya. Ada biasiswa mahupun tidak, kita tetap berusaha untuk belajar dan mencari jalan untuk mencukupi sebatas keperluan, dan bukan mencari kemewahan. Apatah lagi jika institusi yg kita pilih itulah pilihan yang terbaik untuk kita. Apapun yang terjadi, kita akan tetap bertahan. Dengan kata lain, biasiswa atau bantuan kewangan hanyalah berperan sebagai kemudahan dalam belajar, dan BUKAN tujuan belajar itu sendiri!

Menjadi Pelajar CASIS

Sungguh, bagi yang memahami, perjalanan menuntut ilmu itu tidak lah semudah mencari makan di saat kelaparan. Terkadang kita memerlukan masa yang bertahun-tahun untuk mendapatkan satu jawapan atas pertanyaan yang telah lama tersimpan di dalam diri. Sejak menyertai CASIS, saya merasa telah mendapat banyak pencerahan dan penjelasan penting terhadap apa yang sedang dicari selama ini. Walaupun apa yang dicari dan perlu dipelajari itu banyak, namun masa dan keperluan membataskan hanya pada yang diperlukan oleh diri sendiri terlebih dahulu. Itulah yang saya lakukan. Para guru kami di CASIS sentiasa mengingatkan, karya-karya asas perlu didahulukan, agar kefahaman sampai kepada tujuan. Membaca kitab yang tinggi bukan tidak dibenarkan, tapi tunggulah sampai diri ini layak berkemampuan. Istilah-istilah kunci setiap ilmu juga jangan diabaikan, agar tidak keliru di antara aliran dan penilaian.

Kemudian, untuk membimbing diri kita yang jahil ini, maka kita amat memerlukan guru yang berautoriti. Memang tidak mudah untuk mencari, tetapi akan dikenali oleh Jauhari. Juga dapat dijumpai melalui nasihat Zarnūjī. Tujuannya ialah agar kita tidak cepat menghukum dan menilai perkara yang belum diketahui, bahkan tanpa memahami maksud dan makna dengan lebih teliti.

Menjadi Pengurus CASIS Bookstore (2016-2019)

Pada tahun 2016, saya mendapat amanah untuk menguruskan CASIS Bookstore, yang sebelumnya diuruskan oleh Ustadz Zul Faisal. Pada mulanya, saya menyangka ianya hanyalah sebagai satu entiti perniagaan biasa, iaitu pengurusan jual dan beli buku sahaja. Ternyata ia lebih dari sekadar itu, dan dari apa yang ‘lebih’ itulah saya banyak belajar. Dengan dibantu oleh rakan sekerja yang sangat berdikasi, Sharifah Hajar Almahdaly, saya menjalankan tugas yang diamanahkan tersebut. Di antara tugas-tugas rutin yang biasa dijalankan adalah: membuat pemilihan tajuk buku yang sesuai untuk dijual, mendapatkan stok daripada pengedar, membaca keseluruhan buku secara cepat (skimming), menulis sinopsis buku, menguruskan laporan kewangan bulanan, menguruskan jualan harian (online & offline) dan semasa program tertentu, menguruskan pengeposan dalam dan luar negara, menyediakan rujukan dan bahan bacaan kuliah, membantu pengurusan fotostat materi yang diperlukan, mengemas setor dan lain-lain. Selain tugas-tugas yang biasa dijalankan, terkadang ada juga tugas yang datang sekali sekala, seperti memberikan penerangan berkenaan buku-buku terbitan CASIS kepada tetamu yang datang. Bahkan, terkadang juga beberapa orang pelajar CASIS atau luar yang datang ke pejabat CASIS Bookstore untuk berkonsultansi berkenaan kajian yang sedang dijalankan, serta meminta cadangan bahan bacaan yang dapat membantu proses pembelajaran mereka. Walhasil, CASIS Bookstore bukan sekadar kedai yang menjual buku, tetapi ia juga merupakan satu entiti yang diwujudkan atas dasar khidmat kepada para guru dan institusi keilmuan, sehingga manfaatnya juga dapat dirasai oleh para pelajar di dalam instutusi tersebut. Secara ringkasnya, it is not just a book store!

Selama menjadi pengurus CASIS Boosktore, saya juga turut dibantu oleh rakan-rakan seperjuangan yang jasanya akan selalu dikenang, mereka adalah Sharifah Hajar, Khairi Zainal, Mohamad Imran Halimi, Ahmad Khushairi Ismail, Fahroni Hamdan, Ali Muchtar, Mahdi Almahdaly, Amru Khalid Sazali dan lain-lain.

Akhir Kalam

Bagi saya, satu ni‘mat yang tiada terhingga dan perlu disyukuri, kerana saya diberi kesempatan untuk belajar di CASIS dan meningkatkan kefahaman mengenai faham-faham utama dalam pandangan Alam Islam. Terima kasih dan Penghargaan yang setinggi-tingginya saya sampaikan kepada para guru mulia yang saya amat hormati, atas bimbingan dan nasihat yang sangat bermanfaat kepada saya selama hampir 8 tahun menimba ilmu di CASIS, di antaranya adalah: Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah, Prof. Madya Dr. Syamsuddin Arif, Prof. Dr. Tatiana Denisova, Prof. Madya Dr. Adi Setia, dan Dr. Suleiman Mohammed Hussein Boayo. Dengan bimbingan dan tunjuk ajar mereka, saya menjadi lebih kuat menghadapi perjalanan menuntut ilmu yang mencabar ini. Secara khas, terima kasih yang tidak terhingga atas segala jasa dan bantuan yang amat bernilai bagi saya kepada , Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris dan Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi bin Wan Abdullah yang telah banyak berjasa membimbing saya dalam banyak perkara, terutama dalam penulisan tesis. Beliau berdua sangat memahami sekali kejahilan dan keterbatasan saya, namun beliau tetap sabar dan bijaksana untuk sentiasa memberikan peluang, sokongan, nasihat dan bantuan dalam perjalanan menuntut ilmu ini. Saya juga merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran CASIS, di antaranya Pn. Sharifah Fadzlina Helmy Al-Husaini, Pn. Rashidah binti Sarip, Pn. Norehan, Pn. Nurhazirah binti Ja‘far, Pn. Fazreena Mohd Sah, dan En. Mohd Amer Fahmi yang telah banyak membantu ketika ada masalah pengurusan selama saya di CASIS. 

Sebelum mengakhiri, izinkan saya menutup perkongsian ini dengan beberapa rangkaian kata yang terhasil daripada satu kesedaran atas apa yang pernah dilalui sebelum ini.

Ketika sebuah ketidakpastian menjadi keraguan
Lalu ia menjelma sebagai sebuah acuan
Yang dianggap sebagai cara mencari kebenaran
Atau sebagai jalan merumuskan pandangan
 
Sungguh menarik sepintas jika didengarkan
Seakan ia benar-benar sebuah kekuatan
Padahal hanya berangkat dari sangkaan
Yang didasari oleh rumusan realiti rekaan
Pencarian dengan keraguan itu tiada akan pernah memuaskan
Tidak pernah juga dengannya akan berakhir perjalanan
 
Ketika diri telah dikuasai oleh keraguan
Sehingga apa yang dicari tidak dapat ditemukan
Sedangkan jawapan yang diperolehi tidak pernah mencapai tujuan
Keadaan tersebut seperti kisah seorang yang kehausan
Yang pada mulanya telus mencari air ilmu pengetahuan
Namun setelah ia menemukan, seakan terasa tawar untuk ditelan
Lalu ia tambahkan ‘garam keraguan’, dengan harapan dapat mencukupkan
Kenyataannya tidak sesuai harapan
Padahal ia terus menerus melakukan
Dahaganya tidak dapat terpuaskan, walaupun ditambah air se-lautan
Sungguh malang nasib sang insan, karena ia telah melupakan
Tujuan awal yang benar dalam pencarian

 
21 Feb 2022