Renungan Sempena Ulang Tahun ke-10 RZS-CASIS

By Muhammad Syukri Rosli, M.Phil CASIS (2016)

[Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Akademi Jawi Malaysia (AJM)]

جکهندق مڠنل اورڠ بربڠسا 

ليهتله ڤد بودي دان بهاس

ݢوريندم دوا بلس، راج علي حاج

Barangkali permulaan kembara ke‘ilmuan saya di Pusat Pengajian Tinggi Islam dan Peradaban (CASIS) sebenarnya bermula sewaqtu saya belajar di University of Adelaide, Australia sekitar tahun 2008 lagi. Ia bermula dengan permasalahan jiwa dan fikiran yang menggesa saya melakukan kembara ‘ilmu dan ruhani. Permasalahan jiwa dan fikiran yang saya maqsudkan di sini ialah mengenai perso’alan ma‘na diri – kenapakah aku hidup, kenapakah aku belajar tinggi, kenapakah aku berada di perantauan ini? 

Dalam perantauan yang sunyi itu, saya banyak menghabiskan masa di sudut yang tidak ramai manusia berbual bicara. Di Barr Smith Library, antara perpustakaan universiti yang tertua di benua Australia, saya mendapat sedikit ruang untuk menela‘ah sendiri – ditemani buku-buku mengenai pengajian Melayu yang dikarang oleh para orientalis terkemuka. Kononnya pada waqtu itu, saya ingin mengenali diri saya yang berbangsa Melayu-Islam dengan membaca karya-karya ‘ilmiyyah yang mengkajinya secara objektif. Walaupun Wilkinson dan Winstedt banyak bercerita tentang bahasa, bangsa dan budaya saya, tetapi mereka seolah-olah tidak melegakan dahaga ma‘na yang saya deritai selaman ini.

Pameran Jawi ketika Symposium Antarabangsa Syed Muhammad Naquib al-Attas, Februari 2020

Maka datanglah suatu hari itu, di celah-celah kelapangan jadual kelas petroleum dan kaji bumi, saya mengambil kesempatan ini untuk berada dalam surau pelajar di tingkat teratas Union Building. Istimewanya di sini, ada beberapa rak buku dan terdapat buku-buku yang disusun pada 1-2 tingkatnya. Maka pada rak buku ini, saya temukan buku Islam and Secularism karya Syed Muhammad Naquib al-Attas terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), terbit tahun 1978. Bukunya masih bersih, barangkali tidak dibaca lagi. Saya menyelak-nyelak muka suratnya dan mendapati ia suatu bacaan yang menarik untuk dibaca – tentunya untuk menjawab banyak perso’alan yang bermain dalam fikiran dan jiwa. Maka saya “meminjam” buku ini untuk dibaca.

Bukan mudah untuk membaca buku Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas jika kita tidak mempunyai latar belakang pemikiran, sejarah dan falsafah. Apatah lagi bahasa Inggerisnya juga bukan sebarang. Malah dalam bab pertama buku ini, Prof menjelaskan mengenai latar belakang pengsekularan peradaban Barat – yang sudah tentu saya langsung tidak terdedah dengan perbicaraannya. Pun begitu, saya cuba bersabar dan tabah membaca baris demi baris, sungguhpun agak berat untuk difahami. Buku yang asalnya bersih itu kini dipenuhi dengan catatan dan tanda-tanda apabila saya “pulangkan” kembali ke raknya beberapa bulan kemudian.

Apabila saya pulang ke tanah air pada tahun 2010, saya mendapat tahu Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) bakal menganjurkan Colloqium on Syed Muhammad Naquib al-Attas di MAS Academy, Kelana Jaya. Di sinilah saya mendapat peluang untuk pertama kali mendengar sharahan langsung daripada Prof. dan anak-anak muridnya sendiri. Sudah tentu, sebagai seorang pencari ma‘na, menghadiri majlis ke‘ilmuan ini sangat memberi ma‘na. Lebih-lebih lagi dapat menyaksikan dengan mata kepala sosok tubuh Prof al-Attas pada sesi sebelah malam dan bagaimana beliau menyampaikan sharahannya. Menghadiri majlis sebegini, sungguhpun hanya satu hari sahaja, menjadi satu permulaan penting dalam perjalanan ke‘ilmuan saya pada hari-hari mendatang.

Bermula tahun 2011, HAKIM menganjurkan siri Wacana Pandangan ‘Alam Islam (WISE) buat julung-julung kalinya dan menampilkan 24 mata kuliah dan diadakan setiap hari Sabtu selama satu tahun di Institut Integriti Malaysia. Pengajian di WISE, selain daripada membuka pemahaman mengenai intisari penting pandangan ‘alam seperti yang digagaskan oleh Prof. al-Attas, bahkan membuka peluang untuk saya berkenalan lebih rapat dengan para guru-pensharah dan juga para peserta lain yang kini menjadi sahabat-sahabat aqrab saya. Setiap kali waqtu rehat antara kuliah, di meja bulat di belakang kelas dengan sajian hangat minuman pagi, peluang untuk duduk sekali dengan pensharah dan peserta yang lebih ber‘ilmu tidak saya lepaskan. Kadangkala selepas kelas WISE tamat, kami dalam kalangan peserta bersama-sama berkumpul dan meneruskan perbincangan mengenai isi kuliah sambil makan tengah hari.

Pengalaman ke‘ilmuan dan bertemu dengan insan-insan yang mempunyai cita yang mendalam terhadap ‘ilmu benar-benar mengubah hala kehidupan saya. Sebenarnya, sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk berbicara mengenai perso’alan-perso’alan ma‘na diri, ataupun menyusun kefahaman agar ia berma‘na bukan sahaja kepada diri, tetapi selari, selaras dan sederap pula dengan agama Islam dan peradaban kita sendiri. Oleh itu, dalam mengenang kembali permulaan perjalanan ke‘ilmuan ini, rupanya ialah suatu persediaan untuk kembara ke‘ilmuan yang lebih besar.

Pada suatu malam, Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud menjemput para pelajar persuratan dan bahasa Melayu ke rumahnya untuk berkenal-kenalan dan menanyakan apakah rencana masa hadapan. Sewaqtu peluang bertanya dibuka oleh guru kami, saya lantas bertanya dalam mafhum berikut: “Jika diberi peluang, bolehkah pengembaraan ke‘ilmuan ini diterjemahkan dalam bentuk kerjaya – barangkali dengan membangunkan rumah penerbitan?” Prof. Wan menjawab sudah tentu dan beliau menasihatkan saya untuk membaca dengan mendalam mengenai penerbitan dalam pembinaan budaya ‘ilmu dalam karya besarnya – Budaya ‘Ilmu. Dalam pertemuan itu jugalah, Prof. Wan menyeru kami semua untuk menjadikan kembara ke‘ilmuan kami masing-masing secara rasmi di peringkat pengajian tinggi di institusi yang baru beliau asaskan iaitulah di Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban atau Centre for Advanced Studies for Islam, Science and Civilisation (CASIS). Shahdan, saya menyahut seruan ini. 

Bersama rakan-rakan turut sama menjayakan Akademi Jawi Malaysia

Maka pada tahun 2012, saya memulakan kembara ke‘ilmuan rasmi saya di CASIS. Malah, pada waqtu itu jugalah saya baru beberapa bulan menubuhkan Klasika Media (kini dikenali dengan Akademi Jawi Malaysia), sebuah sharikat swasta yang menumpukan pengkajian, penerbitan dan perundingan khazanah persuratan Jawi. Tidak mudah sebenarnya untuk belajar dan pada masa yang sama mengemudi sebuah perniagaan yang baharu hendak bertumbuh. Ini disebabkan saya perlu mengimbangkan antara tuntutan kelas dan tugasan di CASIS, dengan perniagaan Klasika Media yang pada waqtu itu saya masih lagi menguruskannya sendiri tanpa pasukan. Pun begitu, kesulitan mengimbang antara tuntutan ‘ilmu dan kerjaya inilah yang sebenarnya membentuk disiplin dan kemahiran hidup yang tinggi. 

  Di CASIS, antara mata kuliah yang sangat penting dan memberi kesan bagi saya ialah Worldview and Epistemic Framework yang diajar sendiri pengasas dan pengarah CASIS, Prof. Dr. Wan Mohd Nor. Mata kuliah ini menggesa kami untuk membaca pelbagai karya ke‘ilmuan dari pelbagai pandangan ‘alam, peradaban dan tokoh-tokoh pentingnya. Mata kuliah ini menyedarkan saya mengenai pandangan ‘alam yang melatari kerangka pemikiran dan binaan peradaban sesuatu bangsa. Prof. Dr. Wan amat menekankan kami mengetahui perihal yang halus-halus yang tersirat dalam sesuatu pemikiran agar kita menjadi lebih beringat-ingat dalam mendepani sesuatu cabaran pemikiran. Yang paling penting ialah kami kenal dengan sebenar-benar kenal pandangan ‘alam Islam yang menjadi pasak ketamadunan dan ma‘na diri kita. Dengan mata kuliah ini, saya berasa lebih yaqin dengan diri dan lebih mengetahui mengenai pelbagai cabaran pemikiran yang sedang dan bakal dihadapi.

Mata kuliah seterusnya ialah Research Methodology yang disampaikan oleh Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman. Prof. Zainiy sangat menekankan perihal disiplin dan himmah dalam menuntut ‘ilmu. Kami ditekankan mengenai adab pengurusan masa, keutamaan ‘ilmu berbanding hal-hal lain, dan ketelitian dan kesungguhan ‘ilmu sungguhpun dalam membuat tugasan (assignment). Sebagai nota tambahan, hingga hari ini, masih tegap dalam qalbu saya apabila Prof. Zainiy menghuraikan mengenai konsep “Bahasa Jawi” seperti yang diungkapkan oleh Nūr al-Dīn al-Rānīrī dalam Laṭā’if al-Asrār, iaitulah kajian Ph.D. beliau di ISTAC yang telah diterbitkan oleh penerbitan UTM. Mata kuliah yang bagi saya sangat memberi kesan ialah mengenai Malay History and Historiography oleh Prof. Tatiana Denisova. Daripada mata kuliah beliau, saya mengetahui mengenai sumber-sumber penting dalam sejarah dan pensejarahan Melayu dan apakah kemahiran yang perlu dikuasai untuk meneroka sumber-sumber itu. Arakian, kemahiran daripada tunjuk ajar Prof. Zainiy dan Prof. Tatiana kami gunakan dalam kerja sehari-hari kami di Akademi Jawi Malaysia kini. 

Ketika di dalam kelas di RZS-CASIS

Satu pembelajaran berharga yang saya perolehi di CASIS ialah pengajian Bahasa ‘Arab. Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah mengajar kami untuk membaca, memahami dan menterjemah naskhah bahasa ‘Arab Klasik. Saya berpeluang menterjemahkan bahagian ‘Ilm al-Lisān daripada Iḥṣā’ al-‘Ulūm al-Farābī di bawah bimbingan beliau. Di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Khalif Muammar, kami diajar Matn al-Ajurrumiyyah dari mula hingga habis dan ia membina kefahaman naḥu dan i‘rab saya. Dengan Dr. Syamsuddin Arif, saya berpeluang belajar mengenai ‘ilmu ṣaraf bahasa ‘Arab – dan menarik untuk disebut di sini, Dr Syamsuddin hanya akan mengajar kelasnya dalam bahasa ‘Arab sahaja, tanpa berbicara dalam bahasa-bahasa lain. Di bawah tunjuk ajar Dr. Suleiman Boayo, kami diajar kemahiran berbahasa dan melembutkan lidah untuk berbicara dalam bahasa ‘Arab.

Selain daripada kelas-kelas rasmi, kami sebagai pelajar di CASIS juga berpeluang untuk menghadiri dan menguruskan sharahan-sharahan ‘umum melibatkan ‘ilmuwan besar dan juga hadirin yang datang dari pelbagai latar belakang. Maka pengalaman yang saya fikir tidak akan didapati di mana-mana tempat lain ialah peluang kami berkhidmat untuk menjayakan majlis ‘ilmu Saturday Night Lecture yang diadakan sebulan sekali setiap Sabtu malam. Besarlah hati kami sebagai seorang murid dapat berpeluang menyediakan segala keperluan untuk kelancaran majlis ini – di samping bekerja secara berpasukan dengan sahabat-sahabat sepengajian yang berasal dari pelbagai latar negara. Adapun Saturday Night Lecture sepanjang saya menuntut ‘ilmu di CASIS disampaikan oleh mahaguru kami iaitu Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Hasil pembelajaran kami di CASIS perlu diterjemahkan dalam bentuk tesis bagi melayakkan gelaran sarjana falsafah diperoleh. Untuk saya, ia diterjemahkan dalam bentuk tesis sarjana yang dikarang dalam bahasa Melayu dengan judul “Islamisasi Bahasa Melayu dan Pengaruh Tradisi Ke‘ilmuan Bahasa Islam dalam Kitab Pengetahuan Bahasa oleh Raja Ali Haji (1808-1873M)” di bawah seliaan Prof Madya Khalif Mu’ammar. Gerak daya penulisan tesis ini sebenarnya hanya berlaku sewaqtu beberapa bulan terakhir tempoh pengajian saya berakhir dan judul inipun dimu‘tamadkan betul-betul sebelum ia dihantar untuk diperiksa. Prof. Madya Dr. Khalif sangat banyak membantu penulisan saya dan beliau sanggup meluangkan masa di luar waqtu pejabat untuk duduk bersama memeriksa hasil tulisan tesis saya itu. Saya masih ingat lagi sebelum sesi viva voce, Prof. Madya Dr. Khalif memanggil saya ke dalam biliknya dan meminta saya meminta saya membentangkan mengenai tesis saya di hadapannya. Banyak jugalah perkara yang saya perlu perbaiki betul-betul sebelum sesi viva voce berlaku.

Tesis sarjana falsafah saya diperiksa oleh Prof. Dr. Tatiana Denisova dan Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani dan pengerusi viva voce ialah Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud. Pada 28 Mac 2016 di Bilik Viva 1, Aras 2 Menara Razak, UTM KL, saya diminta untuk membentangkan latar perso’alan penyelidikan, qa‘idah pengkajian dan hasil dapatan pengajian dan penyelidikan saya dalam tempoh 20 minit. Sudah tentu rasa gementar dapat dirasa apabila berhadapan dengan para pemeriksa dan yang juga guru yang mengenal diri ini – luar dalam. Antara ulasan yang dikemukakan oleh pemeriksa ialah saya masih perlu memperbaiki sudut permas’alahan kajian – supaya dapat meyaqinkan pembaca ‘ilmiyyah  kenapakah kajian saya ini penting dan perlu dilakukan. Satu lagi ulasan, yang saya kira amat penting untuk dikongsi iaitu mengenai bahagian penghargaan tesis yang perlu dikarang dengan teliti. Prof. Dr. Wan Mohd Nor menegur saya supaya betul-betul dan beradab menulis penghargaan, sungguhpun di dalam tesis, kerana di situlah terletaknya peng‘itirafan tentang siapa yang telah memberi sumbangan dan membantu menyiapkan kerja ke‘ilmuan ini. Saya mengakui dan membetulkannya. Selesai pembentangan, saya diminta keluar sebentar dari bilik. Penantian beberapa minit itu jujurnya mendebarkan. Apabila dipanggil balik, pengerusi, pemeriksa dan penyelia tersenyum dan mengucapkan tahniah dan perlu membuat pembetulan ringkas dalam tempoh dua minggu sebelum menjilidkan tesis.

Kelulusan Sarjana Falsafah yang saya perolehi dari CASIS ini bagi saya ialah sebenarnya ialah permulaan kembara baharu dalam peneguhan ma‘na diri saya. Jika sebelum ini saya hanya pencari yang tanpa apa-apa kelulusan berkaitan, kini pengembaraan saya dalam dunia ke‘ilmuan dan keusahawanan ialah sebagai seorang graduan CASIS – yang perlu menjaga nama baik guru-guru saya dan juga madrasah yang saya mendapat manfa‘at besar daripadanya. Atas limpah ni‘mat daripada Allah, kesan pengajian saya di CASIS terzahir dalam ikhtiyar usaha kami membangunkan Akademi Jawi Malaysia yang berteraskan pandangan ‘alam Islam dan diusahakan sebagai usahaniaga yang berdiri atas kaki sendiri.

CASIS telah menemukan saya dengan para guru dan juga sahabat yang sangat membantu dan mengambil berat tentang saya, bukan sahaja dalam bentuk ke‘ilmuan, bahkan termasuklah kehidupan saya. Bagi saya, pengalaman di CASIS ialah pengalaman yang mengubah kehidupan, barangkali tidak akan dapat di mana-mana. CASIS telah membina suatu keyaqinan dan keberanian untuk saya berjuang menghadapi pelbagai cabaran kehidupan. Keyaqinan dan keberanian ini tentulah bersandarkan ‘ilmu yang benar serta tradisi ke‘ilmuan yang berakar kukuh dalam ketamadunan Islam 

WISE Summer School, 2019 dalam sesi perkongsian tentang Bahasa Jawi

Muhammad Syukri bin Rosli merupakan graduan Sarjana Falsafah di RZS-CASIS pada tahun 2016, dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, Akademi Jawi Malaysia (AJM), pengasas rumah percetakan Tukang Buku Sdn Bhd dan penerbitan, Klasika Media. Beliau juga merupakan salah satu felo Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM).