Oleh: Metsra Wirman (Graduan M.Phil di CASIS, 2012 -2015) 

MUKADIMAH

Sebuah kesyukuran yang luar biasa yang patut saya luahkan sebagai salah seorang graduan dari sebuah Pusat Pengajian Tinggi yang dikenali dengan nama “Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS)”. Tak terasa, usia CASIS telah memasuki 10 tahun. CASIS lahir sebagai salah satu pusat pengajian tinggi pada 21 Februari 2011, atas berkat rahmat Allah dan melalui pelancaran karya pengiktirafan terhadap Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang diselenggarakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur. Kemudian diteruskan melalui ta‘āwwun (bantuan) Fakulti Tamadun Islam (FTI), UTM sehingga Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia meluluskan penubuhan CASIS sebagai Pusat Pengajian Tinggi baru di lingkungan UTM.

Usia 10 tahun untuk ukuran manusia adalah usia yang masih sangat belia. Namun berbeza halnya dengan organisasi atau pusat pendidikan seperti RZS-CASIS ini, boleh memiliki usia yang masih belia tetapi memiliki pengalaman dan kekuatan gagasan yang besar. Hal tersebut dikeranakan Pusat Pengajian Tinggi ini diterajui oleh sahabat terkemuka Tan Sri Prof. SMN al-Attas, yakni Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud dan murid-muridnya yang memiliki adab, wibawa (wisdom), visi dan pandangan yang universal, serta capability yang tinggi. Apalagi rūḥ al-jihad falsafah keilmuan CASIS menyambung gagasan besar Tan Sri Prof. SMN al-Attas tentang ilmu dan pendidikan sejak dilaungkan pada tahun 1977 di Mekah dan dizahirkan secara nyata di ISTAC, Kuala Lumpur Malaysia pada tahun 1987 sehingga 2002.  

Meraikan 10 tahun dedikasinya sebagai ekspresi kesyukuran secara kelembagaan sekaligus  refleksi perjalanan kewujudannya. Tarikh lahir 21 Februari ini juga bersamaan dengan ulang tahun saya walau tahunnya berbeza. Ketika ada permintaan menuliskan refleksi fikiran terhadap CASIS dari sudut pandang pelajar ambilan pertama seperti saya, permintaan ini selain menjadi sebuah kehormatan, namun sekaligus jadi cabaran yang tidak ringan, sebab cuba zahirkan hakikat apa yang saya lihat, apa yang saya dengar, apa yang saya rasa serta apa yang saya alami selama 5 tahun bernaung di bawah kebijaksanaan guru-guru di CASIS. Apalagi Prof. Wan Mohd Nor telah banyak berjasa mengembalikan arah tujuan perjalanan keilmuan saya, sejak menjadi pelajar di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hingga masa awal CASIS didirikan oleh sarjana berwibawa seperti beliau. 

Penulis membantu penjualan buku ketika program-program anjuran RZS-CASIS

SARJANA BERWIBAWA ADALAH GURU IDEAL PALING DICARI 

Saya berkenalan dengan Prof. Wan sejak tahun 2008, melalui jasa baik Dr. Khalif Muammar  A. Haris (yang sekarang Pengarah RZS-CASIS). Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari Mesir ke Indonesia, tetapi sempat melawat ke Malaysia beberapa lama. Pilihan destinasi Kaherah–Kuala Lumpur disebabkan keinginan untuk bersilaturahim dengan beberapa sahabat semasa belajar di Kaherah, yang saat itu sedang melanjut pelajaran  di Malaysia. Berkat takdir Allah, sesuatu terjadi di luar perencanaan, saya dipertemukan dengan Dr. Khalif di sebuah Forum Diskusi Online tentang Keislaman (semacam yahoo messenger INSIST) jelang kepulangan saya ke Indonesia. Melalui beliaulah, saya dikenalkan kepada Prof. Wan yang ketika itu jadi Ketua Kumpulan Penyelidik “Membina Teori dan Epistemologi Alam Melayu” di ATMA, UKM. 

Di bilik pejabat Prof. Wan di ATMA inilah terjadi perbincangan hangat antara kami tentang banyak isu yang saya ketahui ketika masih di Kaherah. Prof. Wan banyak membetulkan kekeliruan pemahaman saya yang beliau anggap sangat berbahaya. Sesi perbincangan dengan Prof. Wan inilah yang saya anggap paling bersejarah waktu itu. Beliau menasihati saya supaya tidak perlu kembali ke Mesir untuk lanjut pembelajaran di sana tetapi cukup di Malaysia saja sambil membantu beliau di ATMA. 

Singkat cerita, dapatlah kesempatan 2 tahun sebagai Research Assistant (RA) di Kumpulan Penyelidikan tersebut untuk belajar serta membantu beliau di ATMA. Namun dikeranakan sesuatu hal (secara rinci tentang hal ini, sila baca buku Prof. Wan terbaru tentang Budaya Ilmu), akhirnya Prof. Wan berpindah ke UTM untuk mendirikan Pusat Pengajian Tinggi baru di sana, yang sekarang dikenal dengan CASIS-UTM KL. Atas nasihat Prof. Wan pula, saya pun berikhtiyar untuk ikut pindah ke CASIS dengan melanjutkan penyelidikan saya tentang “Pemikiran Tasawuf Sunan Bonang (1450-1525) berdasarkan Naskah Suluk Wujil” ketika masih berstatus pelajar di ATMA UKM.

Sejak di CASIS tahun 2011, saya baru merasakan pengalaman didikan oleh Prof. Wan dan guru-guru di CASIS hampir sama dengan yang Prof. al-Attas terapkan di ISTAC. Walau banyak keterbatasan fasiliti kami masa itu, bersama 10 pelajar lainnya yang berasal dari Malaysia, Indonesia, Turkmenistan, dan China, kami merasakan betul semaian adab dalam menuntut ilmu yang tinggi, namun tak mengurangi kemesraan hubungan antara guru-murid sepertimana hubungan bapak dengan anak di CASIS yang ketika itu masih berkedudukan di bangunan Yayasan Selangor aras 18, di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saat itu, kami mesti pandai-pandai memanfaatkan perpustakaan ISTAC, IIUM, UM, UTM, dan lain-lain.

Penulis berdiri di sebelah kanan sekali berbaju putih, kunjungan pelajar RZS-CASIS ambilan pertama ke rumah Prof Wan

Pada tarikh 29 April 2015, adalah hari bersejarah bagi perjalanan pendidikan saya di CASIS sebagai tahapan paling bermakna dalam perkembangan intelektual saya dalam memahami budaya ilmu yang saya rasakan di CASIS seperti menayangkan nilai yang berakar dari tradisi Islam sebagaimana tertayang dalam Sūrah al-Ibrāhīm 24-25: 

Tidaklah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pokok yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pokok itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka ingat. 

Pokok yang baik berasal dari benih atau bibit yang baik dan menghasilkan jenis yang sama pada turunan-turunan selanjutnya (suatu hal yang mustahil akan tumbuh jenis yang berbeza). Oleh kerana itu, memilih bibit unggul sangat penting, kerana bibit atau benih ini akan menentukan hasil yang akan kita peroleh. Bibit unggul akan memberikan hasil yang baik, jika kita mampu menjaga dan merawatnya dengan baik pula.

Prof. al-Attas di ISTAC mahupun Prof. Wan di CASIS telah menerapkan falsafah “pokok yang baik” seperti dalam Sūrah Ibrāhīm tersebut dalam memilih, menyiapkan, membina, merawat dan mendidik insan-insan yang bernaung di bawah kewibawaan beliau. Apa yang saya ketahui di CASIS, Prof. Wan bersama guru-guru lainnya sangat selektif dalam memilih pelajar yang sambung belajar di CASIS. Banyak proses dan cara digunakan untuk lebih mengenali kualiti diri perseorangan pelajar yang memohon untuk menyertai program master atau doktoral di CASIS. Mulai dari integriti diri (adab dan akhlak), niat masing-masing pelajar, kemampuan akademik bahkan penguasaan bahasa yang paling diperlukan dalam proses pengajian Islam di CASIS. Pelajar-pelajar yang ada di CASIS, menurut hemat saya adalah bibit-bibit terbaik hasil ikhtiyar Prof. Wan. 

Kenyataan ini, membuat saya sedar diri sebab saya termasuk pelajar yang beruntung sahaja kerana masuk CASIS atas rahmah atau kasih sayang Prof. Wan saja sebab banyak kualifikasi ideal yang sangat diinginkan CASIS belum bisa saya penuhi sebenarnya. Prasangka baik (Ḥusn al-Ẓann) Prof. Wan terhadap para murid  (pelajar) termasuk luar biasa, sebab beliau sangat sabar terhadap berbagai kelemahan yang terdapat pada diri masing-masing murid beliau. Beliau sentiasa membantu dan menasihati setiap pelajar demi kemudahan hidup dan perjalanan penyelidikan mereka di CASIS.

PENGALAMAN PENYELIDIKAN DI CASIS

C:\Users\Metra\Desktop\naskah suluk wujil.jpg

Tema-tema penyelidikan setiap pelajar benar-benar diarahkan kepada sesuatu yang lebih bermanfaat dan berakar (fundamental) dari tradisi Islam. Sampai ada ungkapan yang paling saya ingat dari Prof. Wan adalah: 

tidak mengapa saudara habis masa / umur (hingga terlambat berkahwin) untuk mengkaji yang bermakna buat Islam daripada habis masa / umur untuk sesuatu yang tidak bermakna buat Islam.

Nasihat Prof. Wan saat memotivasi saya supaya sentiasa semangat menyelesaikan penyelidikan saya tentang “Pemikiran Tasawuf Sunan Bonang (1450 – 1524) merujuk naskah khas Suluk Wujil” yang saya anggap paling mencabar selama belajar di universiti selama hidup saya. 

Sebab objek kajian yang saya selidiki adalah Wali Allah atau Ulama terkemuka di tanah Jawa (salah seorang ulama yang termasuk barisan ulama yang dikenal sampai sekarang dengan sebutan “Wali Songo”). Bahan kajian secara asli melalui manuskrip yang ‘amnya berbahasa Jawa Kuno dan Belanda. Narasi kajian juga tak mudah, kerana bahasa yang digunakan banyak terkandung ungkapan yang alegorikal, simbol-simbol yang diselimuti oleh cerita atau kisah tidak rasional jika tak punya pengalaman dalam memahami budaya kesusasteraan Jawa. Namun, Alḥamdulillah, berkat nasihat Prof. Wan dan bimbingan Dr. Khalif penyelidikan saya menemukan arahnya. Bantuan yang sangat bererti bagi penyelidikan saya adalah ketika Prof. Paul Lettink dan Dr. Syamsuddin Arief (pensharah di CASIS, tahun 2012-2015) turut serta memahamkan saya akan kandungan disertasi B.J.O. Schrieke “Het Boek Van Bonang” dengan membaca bersama teks tersebut yang berbahasa Belanda di pejabat Dr. Syamsuddin Arief di CASIS mulai tengah hari hingga petang beberapa kali pertemuan. Pengalaman ini sangat berkesan bagi saya di saat diri mulai bimbang akan kesimpulan penyelidikan saya ketika itu.

Kesimpulan yang didapatkan dari proses penyelidikan saya adalah semua sarjana atau ulama yang rāsikh fī al-‘ilm dan muktabar adalah satu tradisi jaringan keilmuannya sentiasa seirama dan semakna atau bersambung. Jika saya melihat Sunan Bonang akan bertemu kesefahaman dengan Ulama sebelum beliau maupun setelah beliau. Namun jika ada keterputusan tradisi dan ketidaksepahaman, bererti ada kesalahan pemahaman dari sarjana yang datang kemudian terhadap pemahaman dan tradisi yang diamalkan ulama tersebut. Sebagai contoh, jika pemahaman Prof. al-Attas terhadap kebenaran dan realiti senada dengan Imām al-Ghazālī, Imām Fakhr al-Dīn al-Rāzī begitu juga semestinya dengan pemahaman Sunan Bonang dengan Imām al-Ghazālī, Imam Fakhr al-Dīn al-Rāzī hingga sarjana terkemuka abad ini seperti Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Hal ini sejalan dengan “falsafah pokok” yang terkandung dalam surah Ibrāhīm 24-25 yang sudah disebutkan di atas.

CASIS: MODEL POKOK YANG TERBAIK (SHAJARAH ṬAYYIBAH).

Ambilan pertama dan ke-2 di tempat baru, bangunan PSZ UTM KL. Penulis berdiri di sebelah kanan sekali berbaju hitam.

Kita kembali pada ayat di Sūrah Ibrāhīm tadi, dengan jelas dan tegas pada ayat ini disebutkan bahawa ciri-ciri pokok yang baik adalah aṣluhā thābit (akarnya teguh) dan far‘uhā fī al-Samā’ (cabangnya menjulang tinggi) serta “tu’ti ukulahā kulla hinim bi idhni rabbihā” (pokok itu akan memberikan buah pada setiap musim dengan izin Allah SWT). 

Menurut saya, terdapat 3 perkara penting dalam ayat tersebut yang relevan disematkan pada tubuh RZS-CASIS yang saya kenali selama ini: Pertama, aṣluha thābit (akarnya teguh); Hakikat  segala sesuatu itu tetap. Hakikat yang tetap ini terdapat pada akar Falsafah Keilmuan Prof. al-Attas yang diteruskan penyemaiannya di CASIS oleh Prof. Wan dan murid-murid Prof. al-Attas lainnya yang juga mengajar di RZS-CASIS. Persoalan asasi umat telah diidentifikasi secara yakin dan kuat sehingga menghasilkan cara yang tepat lagi benar dalam mengislah ke arah yang semestinya terhadap umat. Misalkan dengan agenda Islamisasi Ilmu Kontemporeri oleh Prof. Wan di RZS-CASIS UTM. Agenda ini juga bentuk ikhtiyar Prof. Wan di RZS-CASIS sebagai Pusat Pengajian Tinggi untuk memelihara akar tradisi Islam yang banyak disalahfahami di kalangan sarjana di merata dunia ‘amnya dan di negara-negara Muslim khasnya. Konsep ikhtiyar sebagai nilai kebebasan keilmuan setiap pelajar di RZS-CASIS berbeza dengan kebebasan akademik yang difahami para sarjana lain. Bagi RZS-CASIS kebebasan itu adalah kemampuan memilih yang baik (Ikhtiyār), sebab kita mesti memilih bibit fikiran yang akan kita semai dalam akal kita. Sehingga akarnya akan menancap dalam hati dan cabang-cabangnya melahirkan sebuah tindak tanduk yang baik. Ikhtiyar pada sesuatu yang kuat dan kukuh yang tidak berubah apapun kondisinya.

Hal ini sama dengan Imān, berdasarkan ilmu yang benar yang diibaratkan dengan akar. Ertinya, iman itu sumber kehidupan bagi jiwa seseorang. Seseorang tanpa iman, tak ubahnya sebuah pokok tanpa akar. Akankah ada kehidupan tanpa akar? Akankah tumbuh pangkal, cabang, ranting, daun, dan buah? Tanpa iman, akankah tumbuh penghambaan terhadap Allah? Tanpa iman, akankan tumbuh akhlak yang baik? Akarlah tempat menyerap saripati air dari tanah, akarlah tempat berdirinya pokok, akarlah tumpuan kekuatan pokok, akarlah yang bisa menyaring mana saripati yang harus diserap atau tidak. Begitu juga iman akan memudahkan menyerap kebenaran (al-Ḥaq) dari Allah. Kita akan mempunyai Pembeza (Furqān) mana yang harus ditolak dan mana yang mesti diterima, mana yang harus dikerjakan dan mana yang harus ditinggalkan, mana yang ḥaq dan mana yang bāṭil, mana yang halal dan mana yang haram. Akar juga berfungsi menahan pokok supaya tidak mudah tercabut dan jatuh tumbang. Iman yang didasari ilmulah tempat berdirinya keyakinan. Imanlah sumber kesabaran dan kekuatan seorang mukmin.

Kedua, Far‘uhā fī al-Samā’ (cabangnya menjulang ke langit): makna yang selari dengan kalimah tersebut adalah setiap perbuatan yang bersumber dari ‘amal soleh’ akan diangkat oleh Allah ke langit, atau dengan maksud diterima oleh Allah SWT. Relevansinya dengan apa yang telah CASIS lakukan adalah dalam konsep ‘amal soleh’ dalam dunia akademik dan keilmuan Islam yang mendapat cabaran berat dari keilmuan Barat yang mendominasi dunia hingga hari ini. Kenyataan ini diterjemahkan di CASIS bahawa sebuah karya dan gagasan mesti dalam konteks amal soleh. Amal soleh bukan dimaknai pada mementingkan penghargaan manusia, namun lebih berharap penghargaan atau diredai oleh Allah SWT. Jika umat semakin sedar akan hakikat dirinya sebagai pelaku amr ma‘rūf dan nahyu ‘an al-Munkar dalam mengatasi penisbian nilai di segala bidang. Dalam fikiran setiap insan, CASIS tak pernah terniat untuk mengharapkan sesuatu penghargaan dari makhluk. Mereka bekerja, beraktiviti, dan berkarya semuanya untuk meraih kasih sayang dan redha Allah SWT.

Ketiga, “Tu’ti ukulahā kulla hinim bi idhni rabbihā” (pokok itu akan memberikan buah pada setiap musim dengan izin Allah SWT): pokok yang baik adalah pokok yang menghasilkan buah setiap musim bukan musim-musiman. ramai manusia yang sengaja menanam pokok kerana ingin memetik buahnya. Buah ini akan dinikmati oleh orang banyak. Memberikan manfa‘at untuk keberlangsungan kehidupan manusia. Hal ini tidak jauh berbeza dengan seorang mu’min. Iman berdasarkan ilmu yang benar akan memberikan buah buah yang baik, gagasan yang mengandung hikmah dan kebenaran, diterima oleh akal sihat dan meyakinkan orang yang berfikir. Ia memberikan cahaya kehidupan kepada orang lain. Orang merasa rindu dengan nasihat dan penjelasannya. Orang lain sentiasa menanti huraian gagasan yang ia tawarkan. Orang yang memiliki iman berdasarkan ilmu yang benar selalu berbahagia bila ia bisa memberikan sesuatu yang bermanfa’at kepada orang lain.

KIPRAH (PERJALANAN) KEILMUAN SAYA SETELAH DARI CASIS

Setelah menamatkan pengajian di CASIS, saya pulang ke kampung asal saya di Kota Padang (Ibu kota Provinsi Sumatera Barat di Indonesia). Atas izin Allah belum sampai setahun, saya diterima sebagai pensyarah di sebuah Universiti di Sumatera Barat dan juga sebagai ahli suatu majlis di sebuah organisasi Islam. Inilah pengalaman awal saya merasakan bagaimana keadaan dan suasana tradisi keilmuan di Indonesia. Apa yang saya rasakan dan alami ternyata berbanding terbalik dari apa yang dikenalkan kepada saya di CASIS. 

Di sini, boleh dikatakan nyaris tidak ada perbincangan serius tentang ilmu, tidak nampak budaya ilmu yang kuat. Jikalau ada pun, majlis keilmuan hanya bersifat politikal dan administratif, bahkan jauh dari tradisi keilmuan Islam yang sebenarnya. Padahal di sini, majoriti penduduknya adalah Muslim. Setiap hari saya masih boleh menyaksikan gambaran anti-ilmu, kekacauan makna, dan krisis autoriti. Kehidupan kampus masih ada cara pandang seperti feudalisme. Kadang-kadang, ada profesor yang sangat elitis dan cenderung dan mereka tidak suka dikritik, bahkan birokrasi yang berpusat kepada individu. Manakala, pelajar jauh dari bimbingan yang benar dari pembimbing akademiknya tentang kebenaran dan realitas yang sebenarnya. Kenyataan yang berlaku di sini seperti mitos tentang autoriti, iaitu kenyataan bahawa pengetahuan berkaitan dengan kedudukan.

Dalam hal mewarnai dunia intelektual di Indonesia khususnya di Padang, saya cuba mulai dari kampus di mana saya mengajar. Dimulai mengaktifkan ruang diskusi sesama pensyarah di sana dengan menubuhkan Forum Diskusi Wacana Fikir Islam (WAFI). Pada peringkat awalnya, ia disambut baik kerana ia membantu angka kredit lembaga atau Universiti dimata stakeholder perguruan tinggi kerajaan (Negara). Namun tidak sampai 3 bulan berjalan, mulai ada cabaran dalam penyelenggaran. Semangat para pensharah untuk menyertai setiap sesi yang jadi semakin berkurangan. Alasan yang tidak munasabah sering dikemukakan. Kesibukan yang tidak kena mengena dengan keilmuan sentiasa jadi alasan ketidak hadiran mereka. Akhirnya pupus ikhtiyar saya untuk menumbuhkan budaya ilmu di kampus tempat pertama pengabdian saya di Indonesia.

Penulis di Klana Beach Resort, Port Dickson bersama rakan-rakan RZS-CASIS dan guru-guru setelah tamat perbentangan Proposal Defense [2014]

Tidak patah arang, saya cuba lanjutkan Forum Diskusi WAFI yang saya bawa keluar dari budaya formal dunia kampus. Di luar dugaan, malah ramai peminat dari pelajar-pelajar di luar kampus tempat saya mengajar. Ramai pelajar-pelajar dari kampus-kampus terkemuka di Sumatera Barat menyertai dengan setia program yang WAFI selenggarakan. Bahkan di tahun 2019 adalah tahun pembuktian dengan kewujudan WAFI Padang dengan agenda mengenalkan “Islamisasi Ilmu Pengetahuan di kalangan pelajar-pelajar Universiti di Sumatera Barat.” Aktiviti yang diadakan ialah: Kelas Pemikiran Islam (KPI), daurah Pemikiran, Reading Session, Workshop Pemikiran, Kajian mingguan, International Lecture, Kursus Ilmu Logika serta ada kajian akhir tahun. Inilah beberapa program yang dijalankan WAFI Padang yang menyita waktu dan kesabaran. 

Alḥamdulillah, tahun ini, WAFI Padang sudah dikenali oleh rakan-rakan intelektual Muslim Sumatera Barat khasnya, mahupun di Asia Tenggara (Malaysia, Singapura, Brunei, dan lain-lain). Dahulu, pelajar-pelajar yang saya ajak berbincang, seakan tidak percaya kerana ketidaktahuan mereka terhadap sumbangan Islam terhadap Ilmu Pengetahuan, seolah dalam fikiran mereka waktu itu, Islam dan Ilmu pengetahuan tidak ada hubungkait. Sekarang Alḥamdulillah, keadaan mulai berubah, kini fikiran itu tidak lagi dominan. Bahkan pada suatu kesempatan, di sebuah forum diskusi dengan mahasiswa, saya mengetahui bahawa mulai ada keinginan yang sangat kuat dari mereka untuk mengenali lebih lanjut tentang tradisi Islam dan kaitannya dengan Ilmu Pengetahuan. Mulailah aktif di minda mereka ketika mereka jumpai sesuatu yang tak betul. Mereka mula bersikap kritis dalam fikiran, serta mengakar jika mereka mencuba mencari akar persoalan terhadap sesuatu dengan ilmu dan iman.

Namun bagi saya sendiri, mendirikan WAFI Padang bagi saya adalah wadah untuk mengamalkan idealisme saya di bidang keilmuan yang saya dapatkan di CASIS, ketika idealisme ini, tidak mendapat tempat di lembaga pendidikan formal, seperti kampus, NGO dan organisasi masyarakat. Sebagai wadah tanam ilmu pada bibit-bibit unggul yang terdapat di pelbagai kampus di Sumatera Barat, WAFI sangat bermanfaat bagi saya untuk pengembangan diri secara intelektual dan sosial. 

Kenapa demikian? Dulu ketika belajar di Pondok Modern Darussalam Gontor, pernah dikenalkan bahawa belajar yang baik adalah dengan mengajar. Dengan mengajar, ada sesuatu yang memecut diri untuk terus belajar, terus mengembangkan diri, terus mengasah pemahaman biar tidak terlena dengan aktiviti harian yang sering bertentangan dengan idealisme saya yang fahami dari guru-guru di CASIS, khasnya Prof Wan yang sangat berjasa bagi saya. Terima kasih banyak Prof atas bimbingan dan nasihatnya selama ini. Terima kasih juga buat pensharah RZS-CASIS: Prof. Zainiy Uthman, Prof. Tatiana Denisova, Dr. Khalif Muammar, dan Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah dan rakan-rakan sepengajian di RZS-CASIS yang telah jadi ruang pengembangan diri saya selama ini. 

Selamat Ulang Tahun ke- 10 RZS-CASIS UTM KL, Semoga semakin berwibawa…