Oleh: Dr. Usep Mohamad Ishaq

(Graduan PhD di RZS-CASIS, 2017) 

“Keputusan menyambung di RZS-CASIS bukan sahaja suatu keputusan yang besar tetapi juga penuh risiko bagi saya, yang pada saat itu terpaksa meninggalkan pekerjaan saya sebagai seorang pensyarah kerana keputusan saya tidak disetujui oleh pimpinan universiti kerana alasan ketaksejaluran disiplin ilmu.”

Sebagai seorang graduan master daripada jurusan fizik Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia dan seorang peminat sains, tiada terdetik dalam hati bahawa saya akan menyambung pengajian di peringkat  Ph.D. di sebuah institusi pendidikan seperti Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains, dan Peradaban (CASIS)-UTM (sekarang Raja Zarith Sofiah CASIS (RZS-CASIS). Suatu keputusan yang pada akhirnya patut disyukuri karena telah membawa perubahan teramat besar bagi saya. Keputusan menyambung di RZS-CASIS bukan sahaja suatu keputusan yang besar tetapi juga penuh risiko bagi saya, yang pada saat itu terpaksa meninggalkan pekerjaan saya sebagai seorang pensyarah kerana keputusan saya tidak disetujui oleh pimpinan universiti kerana alasan ketaksejaluran disiplin ilmu. Selain itu, RZS-CASIS pada saat itu belum lagi suatu institusi yang ramai dikenali di kalangan akademia di Indonesia. Tetapi risiko itu tetap saya ambil kerana melihat kepada autoriti para pengasasnya terutama sekali guru kami Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan juga keberadaan tokoh besar seperti Tan Sri Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjadi Profesor Ulung (distinguished Professor) di CASIS pada saat itu. 

Di Indonesia kedua tokoh ini telah dikenal sebagai seorang pemikir besar dan sarjana yang amat peduli dengan masalah-masalah ummat, kemunduran pendidikan, dan kerosakan pemikiran di kalangan ummat Islam. Selain itu, keberadaan sarjana-sarjana yang menjadi pensyarah di CASIS pada saat itu seperti Prof. Madya Dr. Khalif Muammar, Prof. Dr. Muhammad Zainy Uthman, kemudiannya disertai oleh Prof. Dr. Tatiana Denisova, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, Dr. Suleiman Boayo, Dr. Syamsuddin Arif, Dr. Adi Setia Md. Dom telah menjadi daya tarik tersendiri bagi saya untuk memutuskan menyambung pendidikan di RZS-CASIS dengan berbagai risiko itu.

Alhamdulillah, keputusan saya itu merupakan keputusan yang tidak akan saya sesali kerana masyarakat ilmiah di RZS-CASIS merupakan masyarakat ilmiah yang teramat unik dan belum pernah saya jumpai di mana-mana universiti. Hubungan pensyarah dan mahasiswa merupakan suatu ciri yang istimewa di RZS-CASIS. Hubungan mereka bagaikan suatu hubungan anak kepada orang tua. Hubungan persahabatan (ṣuḥbah)  antara guru dan murid semasa membimbing dan menyelia para pelajarnya merupakan iklim ilmiah yang penulis rasai. Penanaman “adab” bukanlah suatu wacana teoretikal di RZS-CASIS, tetapi ianya suatu hal yang telah mendarah daging dalam kehidupan ilmiah di RZS-CASIS. Sebagai seorang yang sedang tiada memiliki penghasilan tetap pada saat itu, guru-guru di RZS-CASIS bukan saja mencurahkan ilmu mereka dengan tulus dan telus kepada kami tetapi memperhatikan keadaan kewangan pelajar-pelajar RZS-CASIS khususnya mereka yang berasal dari luar negara Malaysia.

Kesungguhan pengabdian para pensyarah RZS-CASIS terhadap keilmuan, juga merupakan suatu ciri khas tersendiri di mana beberapa kulliyah diberikan sebagai tambahan secara percuma oleh para pensyarah di luar daripada kursus-kursus wajib yang mesti diambil, di lain sisi para pelajar yang mengikuti program pengajian di RZS-CASIS yang datang dari pelbagai bangsa atas dasar dorongan yang lebih tinggi daripada sekadar memperoleh ijazah.  Kajian-kajian yang dilakukan oleh para pelajarnya mestilah menjadi suatu bahagian daripada penyelesaian masalah bagi ummah dan kemanusiaan secara amnya, bukan sekadar untuk pengetahuan belaka. Kerana itulah juga saya mengambil tajuk penelitian tentang Ibn al-Haythām dan falsafah sainsnya, karena ia diharapkan menjadi suatu rujukan bagi penyelesaian masalah falsafah sains moden yang semakin pragmatik, utilitarian, dan materialistik.  

Professor Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud sebagai penyelia saya yang pada saat itu masih lagi menjadi pengarah Pusat Pengajian Tinggi Islām, Sains, dan Peradaban (CASIS) UTM sentiasa memberikan sokongan, dorongan, panduan dan juga kritikan. Saya teramat berhutang kepada beliau atas arahan dan petunjuk yang diberikan tentang kaedah menggunakan pandangan alam Islām dalam menganalisis fakta-fakta sejarah, cara melakukan penulisan sejarah dengan benar berlandaskan asas keadilan, juga berhati-hati dalam menggunakan istilah-istilah kunci, Beliau juga telah mengajarkan adab-adab dalam dunia keilmuan. Syarahan-syarahan beliau di RZS-CASIS telah memberi kesan dan pengaruh amat mendalam dan besar bagi saya hingga saat ini dan sehingga kini pun khususnya dalam dunia keilmuan saya. Cara, gaya, kebijaksanaan, dan pesan-pesan beliau sejujurnya telah banyak saya tiru saat ini ketika saya kembali ke dunia akademik menjadi seorang pensyarah dan bahkan ketika saat ini saya menjadi seorang ketua jurusan di suatu universiti di Bandung. 

Salah satu pesan beliau yang sentiasa saya ingat adalah bahawa tujuan utama pendidikan bukanlah untuk mendapatkan pekerjaan bergaji lumayan atau melahirkan tenaga kerja cekap sahaja, tetapi untuk menanam sikap memuliakan ilmu, menuntutnya dan terus menghayatinya seumur hidup. Pesan beliau ini berusaha saya gunakan ketika merumuskan kurikulum di kampus kami, meskipun dengan berbagai keterbatasan dan hambatan. Sikap beliau dan para pensyarah RZS-CASIS dalam memuliakan ilmu tertayangkan pada sikap mereka dalam memperlakukan para pelajar dengan penuh hormat, dan itu pulalah yang berusaha saya amalkan ketika memperlakukan para mahasiswa saat ini. Mahasiswa bukanlah objek ekonomi, bukanlah mesin yang dihasilkan dari perguruan tinggi. Ia adalah insan yang tengah dahaga mencari ilmu dan petunjuk yang harus dibimbing, ditunjuk ajar dengan penuh cinta kasih agar menjadi graduan yang bukan hanya cekap tetapi menjadi insan kamil, manusia seutuhnya.

Hubungan antara pelajar di lingkungan RZS-CASIS juga merupakan hal lain yang amat berkesan. Para pelajar menunjukan semangat mencari ilmu yang sangat tinggi, kegiatan membaca, berdiskusi, dan meneliti bukan sahaja di dalam kelas-kelas tetapi di dalam keseharian mereka. Ini tiada lain kerana budaya ilmu yang sememangnya telah ditanamkan oleh para pensyarah di RZS-CASIS. Para pelajar juga saling tolong menolong dalam setiap kesukaran dan cabaran yang dihadapi selama mereka menyelesaikan pengajiannya. Tidak ada sekat-sekat bangsa dan kenegerian yang boleh tumbuh di antara pelajar RZS-CASIS yang datang dari berbagai bangsa dan negara. Hal itu juga amat ditekankan oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud kepada para pelajar di CASIS. Bukan hanya itu, staf administrasi akademik di RZS-CASIS amat membantu dan memberi kemudahan kepada para pelajar, khasnya Puan Rashidah Sarip (kini telah bersara), Puan. Noorehan Ismail dan Puan. Sharifah Fadzlina Helmy Alhusaini. Semangat saling menolong dan membantu yang tumbuh subur di masyarakat ilmiah RZS-CASIS merupakan buah dari penanaman adab yang amat sungguh-sungguh dari para pengasas RZS-CASIS.

RZS-CASIS telah memberikan kesan dan pengaruh yang besar bagi negara Malaysia tetapi juga Indonesia dan dunia pada umumnya. Kini, ramai di kalangan para pemuda dan mahasiswa di Indonesia yang mengikuti pemikiran para pensyarah RZS-CASIS dan anak murid dari Tan Sri Prof. Dr, Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan menggunakan hujjah-hujjah mereka untuk menangkis serangan sekularisme dan liberalisme yang juga mewabak di Indonesia. Pemikiran mereka telah banyak membantu menyelesaikan permasalah ilmu seperti dikotomi ilmu agama dan sains yang masih banyak dijumpai di Indonesia. Saya sendiri telah dijemput oleh salah satu Fakulti di perguruan tinggi terkenal di Institut Teknologi Bandung (ITB) pada tahun 2020 lalu dan berbagai universiti di Indonesia  untuk memperkenalkan pemikiran yang dikembangkan di RZS-CASIS dalam “mengintergrasikan” ilmu sains dan ilmu-ilmu agama. 

Bagi saya keberadaan institusi pendidikan tinggi seperti RZS-CASIS merupakan suatu oasis di antara kekeringan kehidupan di dunia pendidikan dan terlebih lagi arus sekularisme yang mewabak. RZS-CASIS telah berjaya menanamkan kerangka berfikir (framework) yang benar yang semestinya dimiliki oleh setiap insan akademik muslim, ia juga telah berjaya memperbaiki pemahaman dan pemikiran tentang hakikat ilmu dan pendidikan, kepentingan meletakkan Tuhan dan Agama dalam setiap kegiatan ilmiah dengan benar. Amatlah beruntung Malaysia memiliki RZS-CASIS dan saya berharap suatu saat di Indonesia tumbuh institusi yang serupa. Tujuan pendidikan yang dipegang teguh di RZS-CASIS bukan sahaja selari dengan tujuan pendidikan dalam Islam tetapi justeru ia amat sesuai dengan tujuan pendidikan nasional di Indonesia iaitu “Pendidikan nasional berfungsi mengembangkan kemampuan dan membentuk watak serta peradaban bangsa yang bermartabat dalam rangka mencerdaskan kehidupan bangsa, bertujuan untuk berkembangnya potensi peserta didik agar menjadi manusia yang beriman dan bertakwa kepada Tuhan Yang Maha Esa, berakhlak mulia, sehat, berilmu”. Oleh itu model pendidikan di RZS-CASIS amat layak menjadi suatu rujukan untuk memenuhi cita-cita dan tujuan pendidikan tersebut.

Saya amatlah beruntung dan bersyukur kepada Allah yang mempertemukan saya dengan para guru mulia dan berwibawa di RZS-CASIS dan bangga menjadi sebahagian dari Civitas Academica RZS-CASIS. Semoga Allah menyuburkan taman adabi di RZS-CASIS dan mencucuri para guru, seluruh pelajar, staf administrasi, dan setiap insan yang telah menyumbangkan sedekahnya untuk kemajuan RZS-CASIS dengan pahala, raḥmat, dan kebahagiaan di dunia kini dan kehidupan di akhirat nanti. Amin.

Biografi:

Dr. Usep Mohamad Ishaq, merupakan graduan Ph.D dari RZS-CASIS tahun 2017 di bawah penyeliaan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud. Ketika ini, beliau bertugas sebagai pensyarah dalam bidang Fizik, Matematik, dan Falsafah Sains, dan ketua program studi di Universitas Komputer Indonesia, juga peneliti dalam bidang falsafah sains, logik, sejarah tamadun di lembaga Institut Pendidikan Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) Bandung. Bidang kajian Ph.D beliau di RZS-CASIS ialah “Ibn Haythām dan Falsafah Sainsnya Dengan Rujukan Khas Kepada Kitab Thamarāt al-Ḥikmah”.