Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berbesar hati kerana dijemput untuk bekerjasama dengan Perbadanan Muzium Negeri Pahang (PMNP) untuk memberi khidmat nasihat dalam penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Pahang al-Sultan Abdullah dan bersama-sama menjadikan Pusat tersebut sebagai pusat penyelidikan dan Pendidikan yang berwibawa. Rangka perbincangan di antara RZS-CASIS dan Muzium Pahang telah bermula sejak 1-3 Mac yang lalu.
Pada 21 Mac 2021, Isnin, satu majlis yang bersejarah dan berbahagia telah tercatat apabila RZS-CASIS diwakili oleh Pengarah, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris telah dijemput memberi taklimat cadangan menandatangani MOA berkenaan penubuhan Pusat Kajian tersebut di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri‘Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Hj. Ahmad Shah di Khutubkhanah Diraja Muzium Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan, Pahang. Majlis tersebut telah diatur dan dianjurkan oleh Muzium Pahang.
Delegasi RZS-CASIS turut diwakili oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Penyandang Kerusi Pemikiran Islam Syed Muhammad Naquib al-Attas, Prof. Dr. Muhammad Zainiy Uthman, Prof. Dr. Tatiana Denisova, dan Dr. Mohd Hilmi Ramli. Turut bersama, Datuk Dr. Syed Ali Tawfiq al-Attas mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Dalam majlis taklimat tersebut, Prof. Madya Dr. Khalif Muammar telah membentangkan bentuk-bentuk kerjasama dari pihak RZS-CASIS iaitu: menjalankan penyelidikan dalam bidang Islam, tamadun, dan alam Melayu, melatih dan membimbing penyelidik di Muzium untuk melanjutkan pengajian peringkat M.Phil/Ph.D di RZS-CASIS, menerbitkan karya-karya ilmiah, dan mengadakan persidangan Diraja, antarabangsa, Wacana Intelektual, dan kursus pengembangan staf.
Dalam titah DYMM Yang Dipertuan Agong (YDPA) al-Sultan Abdullah, Baginda
berharap kerajaan Pahang dapat menyokong penuh penubuhan Pusat Kajian itu dengan memberi geran khas tahunan bagi menggerakkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan seperti penganjuran seminar, kolokium dan bengkel, penyelidikan, penerbitan, penterjemahan serta latihan.
Baginda juga menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka.
Baginda merakamkan penghargaan terima kasih kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui RZS-CASIS, termasuk universiti-universiti lain yang terlibat dalam penubuhan Pusat Kajian ini, seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Yang hadir sama anakanda Baginda, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal.
Selain RZS-CASIS, wakil dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Hamidin Abd. Hamid turut berkenan menyampaikan taklimat.
Pihak RZS-CASIS merakamkan penghargaan yang tinggi kepada DYMM Yang Dipertuan Agong (YDPA) al-Sultan Abdullah di atas berkenan menyokong penubuhan Pusat Kajian ini; juga kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abd. Jalal kerana menjemput RZS-CASIS untuk memberi khidmat nasihat agar menjadikan Pusat Kajian ini menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan yang berwibawa.