Mengapa Isu Dera Kanak-Kanak, Buang Bayi Sukar Ditangani?

               Gejala buruk sosial berlaku di setiap zaman dan di banyak negara sejak sekian lama tidak terkecuali di negara ini. Usia gejala buruk dan jenayah perbuatan manusia adalah sama usia dengan tamadun manusia itu sendiri. Tidak ada negara di dunia ini yang terbuka seperti negara kita tidak terkena tempias pengaruh gejala sosial dari barat dalam berbagai bentuk seperti musik, filem, hiburan, perniagaan, pakaian & fesyen hingga kepada cara makan dan makanan yang dimakan. Yang berbeza mungkin kadar peratusan dan rupa bentuk gejala yang datang. Menurut anggapan umum, semakin dunia maju semakin bertambah kompleks dan semakin kejam anasir sosial yang merempuh alam dunia remaja.

Kemajuan ekonomi dan pembangunan yang dibawa barat membawa bersama budaya mereka yang terkenal dikatakan dinamik, terbuka dan berbeza dari budaya asal penduduk setempat yang ketinggalan zaman. Gejala buruk sosial seperti pergaulan bebas lelaki wanita, hubungan kelamin sebelum berkahwin, musik & filem lucah, budaya arak & dadah, cara berpakaian yang pelik dan keterlaluan tidak pernah ada dalam budaya rakyat tempatan tetapi terpaksa menerima kesannya – secara sedar atau tidak – akibat dari kemasukan modal dan kemajuan ekonomi barat yang dibawa oleh pedagang barat.

Gejala ini sudah lama bertapak dan berkembang hidup dalam masayarakat kita tidak kira kaum sekian lama sejak sebelum merdeka lagi akibat dari latarbelakang dan sistem politik barat yang sudah diamalkan di negara ini. Pengaruh budaya barat sudah memberi impak besar kepada cara hidup dan berfikir rakyat kita termasuk remaja dalam berbagai bentuk yang didakwa pregresif, sesuai dengan peredaran zaman dan kreatif tetapi seringkali bercanggah dengan hukum Islam dan kehendak agama.

Isu mendera kanak-kanak dan membuang bayi tidak pernah diajar Islam tetapi begitu berleluasa berlaku di kalangan remaja Melayu Islam kita. Hal ini berpunca dari pergaulan bebas ala-barat tanpa had antara lelaki wanita yang membawa kepada cara hidup bebas membenarkan hubungan kelamin sebelum berkahwin. Episod itu akhirnya membawa kepada lahirnya anak luar nikah. Remaja yang buntu, tidak berfikir panjang akan membuang janinnya di mana saja akibat kecewa dan malu yang mahu ditutup segera. Perkara ini terjadi kerana tipisnya nilai iman dan kurangnya kesedaran beragama di kalangan remaja yang sepatutnya dididik di rumah oleh ibubapa yang bertanggungjawab.