FROM THE DEPUTY DIRECTOR

Kata-kata aluan Timbalan Pengarah

 

 

Segala puji bagi Allah SWT, Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya masjid Universiti Teknologi Malaysia International Campus, telah dengan rasminya dibuka oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong  Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibn Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada hari Jumaat 10 Ramadhan 1431H bersamaan 20 Ogos 2010. Seiring dengan perasimian masjid tersebut, maka Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia International Campus turut melancarkan laman web bagi kemudahan masyarakat UTM khususnya dan masyarakat Islam secara umumnya untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam.

Umum mengetahui bahawa peranan masjid tidak hanya terbatas kepada aktiviti-aktiviti ibadat ritual semata-mata. Pada zaman Rasulullah SAW dan zaman kegemilangan Islam, masjid telah memainkan peranan yang sangat besar bagi membentuk satu generasi umat yang beriman, bertakwa dan berinovasi. Umat Islam di waktu itu menjadi umat yang mendepani zaman, bukan umat yang menjadi pengikut dan ‘pak turut’ kepada kuasa dan tamadun lain, umat Islam menjadi umat yang menawarkan jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah dan penyakit masyarakat manusia dan bukan sebagai pembawa penyakit dan masalah kepada manusia lain. Justeru itu, dengan amanah yang telah dipertanggungjawabkan, dan dengan kerjasama serta bantuan yang diberikan oleh semua pihak baik oleh warga UTM IC sendiri mahupun oleh masyarakat sekeliling, insya Allah masjid Universiti Teknologi Malaysia International Campus akan bersama-sama dan seiring dengan pentadbiran UTM mengorak langkah ke arah membina masyarakat Muslim Madani dan berinovasi.  Sekian, wassalam.

 

 

Ustaz Wan Ali bin Wan Jusoh

Timbalan Pengarah
Pusat Islam UTM International Campus
Kuala Lumpur.