HISTORY

Pemandangan Hadapan ‘Masjid Kayu’

Pemandangan Hadapan ‘Masjid Kayu’

Latar belakang Pusat Islam bermula panjang semenjak tertubuhnya sebuah surau  bagi kegunaan pelajar muslim UTM sekitar tahun 1972,  pada ketika itu UTM dikenali  sebagai Institut Teknologi Kebangsaan, apabila nama UTM ditukarkan kepada Universiti Teknologi Malaysia pada 1 April 1975, surau UTM yang pada mulanya hanya mendirikan solat lima waktu telah dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mendirikan Solat Jumaat.

Selaras dengan usaha universiti untuk menerajui pembangunan sumber manusia dan teknologi yang kreatif dan inovatif, maka surau (yang kemudiannya dikenali sebagai Masjid Kayu UTM semenjak awal penubuhannya telah bergerak seiring dengan hasrat tersebut. Memainkan peranan yang efektif melalui agenda dakwah yang berkesan melalui program pembangunan sahsiah kepada pelajar, staf dan masyarakat sekitar. Masjid yang pada awalnya dapat memuatkan sekitar 500 jemaah telah diperbesarkan sedikit demi sedikit sehingga dapat menampung 3000 orang jemaah pada satu masa.

Bagi memastikan segala agenda perancangan dan aktiviti masjid berjalan lancar sebuah unit telah diwujudkan bagi menaungi Masjid UTM, Unit Perkhidmatan Kemasyarakatan yang diletakkan di bawah pejabat Canseleri diketuai oleh seorang Pegawai Agama ditugaskan untuk merancang dan merangka aktiviti pengimarahan Masjid UTM.

Melalui peruntukan kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke 9, UTM telah mendapat peruntukan sebanyak RM 7.5 juta, bagi membina sebuah masjid baru bagi menampung pertambahan jemaah yang semakin meningkat. Bermula pada 24 Oktober 2008 (Jumaat) Masjid Kayu UTM secara rasminya telah diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid baru. Untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan aktiviti keagamaan, UTM telah mengubahsuai sebuah asrama kediaman pelajar untuk dijadikan masjid sementara. Dalam masa yang sama juga pihak pengurusan UTM telah bersetuju supaya Masjid  diletak secara terus bernaung dibawah Pusat Islam.

Masjid baru UTM telah siap dibina dan digunakan secara rasmi pada tanggal 9 Ogos 2010 bersamaan 27 Syaaban 1431 dan mula dikenali sebagai Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia International Campus Kuala Lumpus. Dengan diketuai oleh Seorang Timbalan Pengarah, Masjid UTM telah dimasyhurkan dengan perasmian gilang-gemilang oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pada tarikh 20 Ogos 2010 bersamaan dengan 10 Ramadhan 1431.