Hadith ke-40 Dalam Hadith 40 Imam Nawawi

(Hubungan Dunia Dengan Orang Mukmin)

Dari Ibn. ‘Umar r.a katanya : Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu ia bersabda : hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olahnya engkau orang berdagang, atau orang yang sedang mengembara. Dan Ibn ‘Umar r.a berkata: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau. – Diriwayatkan oleh Bukhari.

SYARAHNYA

Hadith ini memperkatakan mengenai hakikat dunia dan kehidupan di dalamnya, yang perlu difahami oleh setiap muslim dan apa yang perlu dilakukan sebelum diperintahkan untuk meninggalkannya.

1- Sebagai seorang yang berdagang atau pengembara.

Menurut kata Ibnu ‘Umar Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu ia bersabda : “Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olahnya engkau orang berdagang, atau orang yang sedang mengembara”. Maksud kata-kata Rasulullah s.a.w ini adalah dunia ini tempat untuk kita beramal  dan bukanlah untuk kita bersenang lenang. Sebagaimana yang pernah digambarkan oleh Sayyyidina Ali mengenai keadaan dunia dan akhirat :

                  ” Sesungguhnya dunia ini telah berangkat membelakangimu dan akhirat itu telah berangkat mendatangimu dan bagi tiap- tiap daripada keduanya ada putera-puteranya. Maka jadilah kamu dari putera-putera akhirat dan janganlah kamu menjadi putera-putera dunia. Kerana sesungguhnya hari ini hari amal dan tiada perhitungan, sedang keesokannya hari perhitungan dan tiada amal”.

      Jika kita melihat keadaan orang yang berdagang atau seorang pengembara pastilah mereka rindukan kampung halaman. namun kerinduan itu tidak bererti jika mereka pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang hasil. Sedangkan jika dia membawa sesuatu hasil dari dagangan dan pengembaraannya itu dapat memberi manfaat kepadanya ketika berada di kampung halamannya. Begitulah gambaran kehidupan seseorang di dunia yang di ibaratkan sebagai perantau yang akan pulang ke kampung halamannya kelak iaitu akhirat.

2- Jangan menunggu masa pagi dan petang

Kemudian pada hadith tersebut ibn ‘Umar menerangkan wasiatnya : “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi dan demikianlah juga sebaliknya”. Ini membawa maksud amal petang mestilah dikerjakan pada waktu petang dan jangan ditangguhkan sehingga pagi kerana tiap-tiap amal itu ada waktunya dan apabila ia luput belum tentu kita dapat mengerjakannya kembali. Begitu juga amal hari ini jangan ditangguhkankan sehingga keesokan harinya kerana kemungkinan ada halangan yang menanti yang tidak kita ketahui.

Orang yang sangat menghargai waktu tidak akan biarkan waktu berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah. Ini kerana mereka sedar waktu adalah umurnya ; habisnya waktu bererti kurang umurnya dan kuranglah amalannya sedangkan amalan itu lah sebagai bekalan untuk kita bertemu dengaNYA.

Kemudian Ibn ‘Umar menambah lagi di dalam wasiatnya : “Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau”. Ini bermakna masa sihat kita hendaklah digunakan sebaiknya sebelum sakit datang yang menghalang kita untuk melakukan amalan.

Justeru, melalui hadith ini wajiblah atas setiap orang mukmin menyedari benar-benar akan nilai hidupnya di dunia sebelum dia didatangi sesuatu yang mengganggu atau menghalangnya untuk melakukan amalan sebagai bekalan di akhirat kelak.  Imam Ghazali ada menulis :

“Sesungguhnya badan anak adam adalah diibaratkan seperti jala untuk mengusahakan amal-amal- yang baik. Apabila ia berajya dalam tugasnya ini kemudian mati, maka sudahlah mencukupi; tidak memerlukan kepada jala itu lagi, iaitu badan yang telah dipisahkan oleh mati”.

Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang menghargai masa..Wallahu A’lam..

* Sumber rujukan : Syarah Hadith 40 Imam Nawawi