Ketawa dan Menangis Di Malam Pertama

Ya Ma’syaral Muslimin, saudaraku sidang Jumaat yang berkunjung ke rumah Allah untuk menjunjung kemuliaan pensyariatan jemaah jumaat ini.  Berterima kasihlah semua pada roh atau jiwa kalian yang bingkas hadir dengan panggilan mu’azzin sedangkan masih ada sebahagian besar dari kalangan kita yang masih mentulikan gegendang telinganya dari menerima seruan jumaat malah masih ramai di antara kita yang tega melumpuh akan kakinya dari menginjak permaidani rumah Allah ini.  Namun marilah kita sama berdoa dan bermohon agar kita yang hadir dalam kala mingguan ini dan juga mereka yang mungkir janjinya dengan Allah untuk berzikir mengingati-Nya khususnya di tika mentari panas mencengkam di kepala hari ini, akan tetap mendapat hidayah Allah berterusan, kini dan selamanya dan untuk itu marilah kita sama-sama bertaqwa pada Allah dengan ketentuan hidup yang masih beragenda.

Saudaraku yang seaqidah yang mengEsakan Allah Rabbul Jalaalah….

Izinkan saya untuk meneruskan bicara dari atas mimbar ini dengan menyelak tabir kelekaan dan kealpaan hidup, menyingkap tirai kesukaan dan gelak tawa gembira, malah maafkan saya untuk menyentap selimut keegoaan, mengoyak pakaian kebuasan dan kerakusan nafsu dengan peluang berkhutbah hari ini, dan kalam khutbah yang ingin saya kongsi dengarkan bersama teman hadirin ialah tentang kisah peristiwa ‘Menangis dan Ketawa Di Malam Pertama’.  Ya saudaraku sekelian, setiap dari kita telah pernah dan akan merasai suatu saat yang amat ditunggu-tunggu dalam hidup, pelbagai kisah ghairah kegelojohan nafsu sang lelaki untuk melaluinya, pelmacam ragam perempuan mensejarahkan detik-detik yang dilalui itu, namun secara rawaknya ramai yang bergembira di kala itu dan kalau ada pun yang menangis, airmata itu lambang sebuah kebahagiaan kenikmatan yang telah dianugerahkan oleh Yang Maha Esa.  Sungguh indah dan teruja di perjalanan masa itu, bagaikan saat itu adalah antara yang terpenting dan ter ‘aula’ dalam hidup ini. Itulah yang telah kita lalui dan temui, namun masih ramai di antara kita yang masih ingin bermimpi dan berhasrat serta berimpikan tika dan di kala itu berulang semula, ya itulah ‘malam pertama’ kita setelah bergelar suami kepada si isteri yang tercinta.

Namun dengarlah para tetamu yang menjadi kekasih Allah Yang Maha Pengasih… Bukanlah mimbar yang mulia ini tempatnya untuk memperihalkan situasi itu tetapi setiap dari kita secara hak dan benarnya akan bertemu suatu lagi malam pertama, yakni malam pertama di alam kubur.  Kalau malam pertama kita di rumah mertua diselubungi dengan berbagai rasa dan kejanggalan, kita merasa pelik untuk bertingkah laku di situ (di rumah mertua) kerana ia bukan suatu kebiasaan, namun suatu masa nanti kita akan bermalam di suatu tempat, di suatu rumah, di suatu katil yang benar-benar lain dan asing bagi kita.  Di taman baru itu kita ramai jiran, namun semua membelakangkan kita, tak berpaling malah langsung tidak mahu bertegur sapa dengan kita. Ketika kita bertandang ke situ, kita disediakan sebuah rumah dan segala peralatannya yang semuanya direka khas dari tanah, rumah, tilam, katil, bantal dan apa saja dari hasilan tanah itu, malah ketika dipersilakan masuk kita terus diminta tidur dan berdiam diri, namun kita akan diperingatkan untuk bangun menyambut ketibaan dua tetamu yang datang tidak diundang, mereka datang menyapa dan menyoal tanpa kita kenal mereka berdua siapa, mereka menunding dan menengking, menendang dan menerajang sesedap rasa mereka tanpa malu pada kita tuan rumah.  Kita mungkin menyangka sungguh biadap dua tetamu ini sudahlah datang tanpa surat jemputan, bertanya dan mewajibkan jawapan, salah jawapan dilempang dan ditempeling.  Kita akan tertanya dan membuat persoalan siapa mereka berdua, dari mana mereka datang, atas arahan siapa mereka datang dan bertingkah laku sedemikian, sudahlah begitu mereka itu hadir dengan jadual rasmi yang padat dan tepat pada masa, berulang-ulang sepanjang masa tanpa jemu walau hanya menanyakan soalan yang sama pada setiap masa.

Hadirin para sahabat sekelian… Untuk mengetahui jawapan terhadap persoalan itu, cuba dengar dan hayati bunyian bahasa ini,

Wahai hati-hati yang keras dan membeku, sebenarnya bunyian bahasa itu adalah dari Tuhan, Dialah Ilah dan Rabb kita, dan kita hanyalah manusia sekerdil-kerdil makhluk ciptaan-Nya, namun kenapa kita tidak mendengar wasiat dan pesanan dari-Nya, kalau mendengar tetapi kenapa tidak dituruti perintah-Nya, kalau dituruti kenapa masih berpilih-pilih mentaatinya.  Kalau kita sedar pernyataan itu dan memahami kalam yang dituturkan pencipta kita tadi yang bermaksud, “Kemudian mereka (hamba Allah s.w.t) dikembalikan kepada Allah selaku penguasa mereka yang sebenarnya, ketahuilah bahawa hukum di ketika itu adalah kepunyaan-Nya dan Dialah (Allah) pembuat perhitungan yang paling cepat.” (Surah al-an’am:62).

Maknanya, Allah sebagai Rabb dan juga Ilah kepada kita telah berpesan dengan kematian, namun kita masih membodohkan pesanan ini, bagaikan wasiat ini bukan untuk kita.  Malah hingga ke saat ini pun, sebahagian dari kita tidak pernah bermotivasi dengan kematian bahkan membenci ketika perkataan ini melintas di hati, bagaikan pertemuannya dengan Tuhan adalah sesuatu yang belum pasti.

Hadirin yang menyimpan cita-cita menjadi kekasih Muhammad s.a.w. dan dicintai Tuhannya…

Kematian yang menjemput menjadikan kita layak untuk bertemu malam pertama, yang menjadi soalnya adakah kita akan gembira atau menangis gembira sebagaimana malam pertama bersama si isteri dahulunya atau kita akan kecewa dan meraung-raung kesakitan di malam pertama di alam barzakh nanti.  Berbicara tentang malam pertama di dalam kubur, para ulama yang mulia menangis ketakutan, golongan bijak dan ahli hikmah merenung panjang dan mengeluh lalu meluahkan gambaran isi hati mereka.  Dr. Abdullah ‘Aidh al-Qarni menceritakan dalam bukunya tentang suatu kisah seorang penyair di ambang kematiannya.  Penyair dalam nazak dipatuk ular dalam suatu perjalanan dan dia sedang berpergian tanpa meminta izin keluar dari ibu, ayah, anak-anak dan saudara-saudaranya.  Maka dalam keadaan sedang sesak nafas nazak, penyair itu melantunkan sebuah qasidah;

“Demi Allah s.w.t. akan datang juga hari ini, dan aku akan pergi tanpa dapat membantah,

Sementara anak-anakku berada di kedua-dua tepi kubur sambil memujuk,

Mereka mengatakan jangan pergi, jangan pergi, sambil terus menimbus tanah ke arah ku,

Tidak ada tempat yang sejauh selain dari tempat pemergian ku ini.”

Malah penyair terus bermadah, “Bagaimanakah aku dapat berpisah dengan anak-anakku di saat sebegini? Mengapa aku tidak meminta izin kepada orang tua ku? Seperti inikah kehidupan ini diputuskan? Apakah seperti ini aku harus pergi? Apakah seperti ini aku akan kehilangan segala sesuatu milikku dalam sesaat? Sahabat-sahabat ku dan orang-orang yang menguruskan jenazahku akan berkata, “Kepada yang pergi, semoga Allah s.w.t. tidak menjauhkan saudara dari kami,..”  Adakah tempat yang lebih jauh dari tempat yang akan aku pergi ini? Apakah ada di sana suatu tempat yang lebih buruk dari tempat yang akan ku pergi ini? Adakah di sana masih ada tempat yang lebih gelap dari tempat kepergiaan ku ini?

Saudara ku sekelian, baca, dengar dan hayatilah firman Tuhan  ini…

Maksudnya, “(Demikianlah keadaan orang-orang yang engkar/kafir itu), sehingga apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, lalu dia berkata: “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku ke dunia, agar aku dapat berbual amal yang soleh dengan apa yang telah aku tinggalkan.  Sekali-kali Tidak! Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya sahaja dan di hadapan mereka ada dinding pemisah sehingga hari mereka dibangkitkan.” (al-Mukminuun:99-100)

Hadirin para teman yang dimuliakan Allah Jalla wa ‘ala…

Ayat yang saya baca dan terjemahkan itu bukan untuk mahkluk lain tetapi untuk setiap dari kita ummat manusia khususnya buat pengikut Muhammad s.a.w. . Ayat itu sepatutnya memberi keyakinan kepada kita bahawa tidak sekali-kali tidak, kita tidak akan dikembalikan semula ke bumi ini setelah kita berhijrah atau di ‘posting’ kan ke alam kuburan, itulah penempatan terakhir kita sebelum tiba masa bertemu Tuhan, Tuan Punya, Tuan Pencipta dan Tuan Pemusnah alam ini, Allah Maha Suci lagi Maha Tinggi.  Oleh itu dengarlah wahai sekelian kita, sebagai peringatan untuk hari dan malam pertama yang akan kita lalui itu nanti;

“Wahai manusia kamu sekali-kali tidak akan dikembalikan, sekarang kamu mesti berdepan juruaudit (membuat perkiraan tentang amalan kamu).  Sekarang kamu telah kembali dan sekarang kamu telah berhenti dari melakukan maksiat.  Wahai orang-orang yang tidak pernah terasa untuk mengerlingkan matanya ke masjid, mengapa liat sungguh kamu untuk bersolat.  Wahai orang-orang yang berpaling dari al-Quran, wahai orang-orang yang melanggar hukum Allah, wahai orang-orang yang berbuat maksiat pada Allah, wahai orang-orang yang melewati batas-batas ketentuan Allah, sekarang kamu telah pun dikembalikan sedangkan di manakah kamu sebelum ini?”

Sidang Jumaat Yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya…

Marilah kita mendengar beberapa kisah yang sepatutnya mampu mengikis karat-karat kesombongan dan ketakburan, sejarah hidup mereka yang terdahulu yang mampu menyuci daki-daki dosa kemaksiatan yang menggunung tinggi.  Marilah kita bersama menanam ingatan dalam diri bahawa pangkat dan kuasa tidak akan dapat menghalang ruh kita keluar dari jasad yang hina ini, jangan pula disangka harta dan wang ringgit mampu merasuah Malaikat Izrael dari menyentap dan memisahkan kita dengan kehidupan yang sedang dinikmati ini, malah jangan diandaikan kekuatan dan kemudaan ini akan sentiasa berkekalan dengan kita, kerana lihatlah ibu dan ayah kita sudah pun tua, malah kepala kita juga sudah didatangi uban, mata kita sudah mula berselaput dan rabun, tulang-temulang sudah mula longgar dan sakit-sakit, itu semua memberi makna malam pertama kita sudah semakin menjelang tiba.

Saudaraku sekelian… Abu Atho’iyyah pernah mendatangi seorang Sultan yang lambang kebesaran dan kemegahannya adalah istana-istana yang didiaminya, lalu Abu Atho’iyyah pun berkata; “Tidakkah anda mengingati malam pertama saat berada di dalam kubur?” Kata-kata ini juga yang kita patutkan ajukan kepada setiap pembesar yang berlagak sombong, “Adakah kamu lupa akan malam pertama itu?”.  Sultan ini telah membina banyak istana yang megah di kota Baghdad, maka Abu Atho’iyyah hadir menemuinya untuk mengucap selamat  di atas kejayaan pembinaan istana-istana itu lalu berkata; “Hiduplah sesuka kamu dengan selamat di bawah naungan istana-istana kamu yang megah.”  Ertinya, hiduplah seribu, dua ribu, tiga ribu tahun dengan selamat daripada penyakit dan kerosakan yang akan menyebabkan anda terhalang dari keinginan untuk makan, minum dan segala kenikmatan lain. Abu Atho’iyyah memberi tazkirah dalam bermadah, “Hiduplah sesuka kamu dengan selamat di bawah naungan istana-istana kamu yang megah, Kamu akan mendapat apa yang kamu inginkan baik pagi mahu pun petang, namun apabila nafas telah berada di hujung halkum, dengan bencana yang menyesakkan dada, maka saat itu kamu akan mengetahui dengan penuh yakin bahawa apa yang kamu miliki ini hanyalah mainan dan tipu daya belaka.”  Mendengar luahan kata ini, sultan yang tenggelam dalam kemabukan hidup duniawi mampu mengalirkan air mata.  Untuk peringatan ini, hayatilah sabdaan junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. yang menyatakan;

Ertinya, “Perbanyakkan oleh mu mengingati akan sesuatu yang akan memutuskan kesedapan (keseronokan dan kenikmatan), kematian,kematian, kematian..”

Bagaimana pula kisah Umar bin Abdul Aziz?  Beliau merupakan salah seorang Amir, Khalifah daripada sebilangan Umara’  bani Umayyah, kemewahannya digambarkan melalui kekerapannya menukar beberapa persalinan pakaian dalam sehari, beliau memiliki emas dan perak, pelayan dan istana malah segala-galanya dalam genggamannya.  Namun setelah diangkat sebagai khalifah bagi mengurusi keperluan dan bertanggungjawab kepada seluruh muslimin, maka Umar bin Abdul Aziz melepaskan semua itu kerana dia dapat membayangkan malam pertamanya nanti di alam kubur.  Umar bin Abd Aziz tidak menginginkan jawatan khalifah kecuali diminta dan dikehendaki oleh rakyat ramai, beliau telah berkhutbah di hari Jumaat pertamanya sebagai khalifah dan meminta para rakyatnya mencabut jawatan khalifah dari tengkuknya, namun tidak dipersetujui oleh golongan rakyatnya.  Hanya selepas seminggu menjawat jawatan khalifah ummat, beliau tampak sangat pada dirinya berubah, dia kurus dan lemah, malah hanya mengenakan sehelai baju sahaja berbanding kehidupan sebelumnya.  Para wazir dan mereka yang terhampir dengannya mengemukakan pertanyaan kepada isteri Umar, “Ada apa dengan Umar?” Isteri Umar Abd Aziz menjawab, “Demi Allah s.w.t. Umar tidak tidur malam dan demi Allah s.w.t. apabila dia tidur di tempat tidurnya, dia miring ke kanan dan ke kiri seakan-akan tidur di atas bara api yang menyala sambil mengeluh dan mendesah, “…ah..ah, aku telah menerima jawatan untuk menguruskan ummat Muhammad s.a.w., pada hari kiamat nanti aku akan ditanya oleh orang fakir dan miskin, anak-anak dan para janda…”

Suatu hari seorang ulama berkata kepadanya, “Wahai Amirul Mukminin! Ketika berada di Mekah sebelum menjadi khalifah, anda hidup di dalam nikmat dan sihat walafiat, lalu mengapakah keadaan anda sekarang terlalu berubah?” Maka Umar Abd Aziz menangis tersedu-sedu dan kemudiannya beliau berkata kepada orang alim tersebut yakni Ibnu Ziyad, “Wahai Ibnu Ziyad, bagaimanakah keadaanku setelah tiga hari berada di dalam kubur, hari di mana aku melepaskan pakaianku untuk berbantalkan tanah dan berpisah dengan orang-orang yang aku cintai serta meninggalkan sahabat-sahabatku sekelian?  Bagaimanakah jika kamu melihat ku setelah tiga hari, demi Allah s.w.t. kamu akan melihat pemandangan yang tidak akan kamu sukai.”

Hadirin sekelian beringatlah kita akan sampai ke sana yakni ke suatu tempat yang jauhnya tidak habis diukur dengan jarak kilometer atau apa sahaja ukuran dalam dunia ini, walaupun ianya hampir bahkan terlalu dekat dengan kita.  Inilah yang kita terkesan dengan pesanan Imam al-Ghazali melalui persoalan yang diajukan kepada anak-anak muridnya, bahawa dalam banyak-banyak perkara dalam dunia ini, “Apa yang paling hampir dengan kita”.  Persoalan yang mengundang keraguan dijawab dengan pelbagai jawaban dan alasan, namun direngkaskan oleh mulut ulama’ yang mulia ini, ya jawapannya ialah itulah dia ‘kematian’.   Mulianya ulama’ ini kerana dia telah memulia dan menjunjung kasih akan pesanan dari junjungan mulia Nabinya Muhammad s.a.w., di mana sekiranya kita berpegang dengan wasiat yang sama kita juga akan turut dimuliakan, bukan sekadar manusia di bumi malah makhluk di alam ini seisinya juga akan turut meraikan kita.  Pesan dan wasiat baginda rasulullah s.a.w. ialah;

Ertinya, “Dan hendaklah kamu pamerkan (tetapkan) akan saat kematian kamu di antara celah dua biji mata kamu..”  Saudara sekelian, sehebat mana kita, setinggi mana pangkat kita, sebidang mana kuasa kita, selautan mana khazanah harta kita, segunung mana tinggi emas berlian kita, sebesar bukit mana kasih kita pada kehidupan, namun berawas dan berwaspadalah kerana kematian hanya berada di atas batang hidung saya dan juga batang-batang hidung saudara dan tuan-tuan sekelian.

Izinkan saya menyimpul pesanan khutbah hari ini dengan serangkap hadith pesanan kekasih ikutan kita Muhammad s.a.w. sebagai konklusi atau kesudahan perbincangan tajuk khutbah “ketawa dan Menangis Di Malam Pertama”, di mana baginda s.a.w. bersabda; ertinya, “Bersama mengikuti mayat ke kubur ada 3 perkara, iaitu ahli keluarganya, hartanya dan juga amalannya.  Maka akan kembali semula 2 perkara dan 1 perkara akan kekal bersamanya.  Maka yang balik itu ialah ahli keluarga kaum kerabat dan juga hartanya dan yang kekal bersamanya itu ialah amalannya,”

Saudara, berbahagialah kita sekiranya yang tinggal bersama menemani malam pertama kita nanti adalah amal-amal khair dan makruf namun bercelakalah kita jika sebaliknya.  Rasulullah juga berpesan dengan sabdaannya,                                                                                             ertinya, “sebaik-baik manusia ialah mereka yang diberikan umur yang panjang dan baik pula budi pekerti amalnya,”.

Akhirnya, tidaklah saya berpesan ini kecuali memohon hadirin yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir di kalangan kita samada isteri, anak perempuan atau juga staf-staf perempuan yang berada di bawah tanggungan dan taklifan kita.