PERASMIAN MASJID BARU UTM INTERNATIONAL CAMPUS KUALA LUMPUR
( 20/8/2010)
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini berkenan merasmikan masjid baru Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa di Jalan Semarak yang boleh memuatkan seramai 3,000 jemaah.
Seri Paduka yang diiringi putera sulung baginda yang juga Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Putera kedua, Tengku Muhammad Mua’az, seterusnya menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr Abdullah Ayub dan Datuk Dr Muhammad Ridzuan Salleh serta Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Abdul Halim Ali.
Naib Canselor UTM, Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata masjid baru tersebut dibina bagi menggantikan masjid lama yang telah dibina menggunakan kayu sekitar tahun 1972 dan hanya boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah saja.
“Faktor usia bangunan dan keperluan bagi menampung jemaah yang semakin ramai, bangunan masjid tersebut telah dirobohkan untuk dibina masjid baru yang bermula pada bulan November 2008.
“Warga UTM cukup berterima kasih kepada pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kerana memperuntukkan RM7.5 juta bagi pembinaan semula bangunan masjid ini,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.