Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) merupakan salah satu daripada tujuh belas buah kolej pelajar yang terdapat di Universiti Teknologi Malaysia, Kampus Skudai. Pada Fasa Pertama Pembangunan Kampung Pelajar, hanya 2 buah kampung sahaja dibuka iaitu Kampung Pelajar Meranti (kini “Kolej Rahman Putra”) dan Kampung Pelajar Belian (kini “Kolej Tun Fatimah”). Fasa Kedua Pembangunan Kampung Pelajar iaitu pada sesi 1988/89 telah mencatit pembukaan KTHO dengan nama Kampung Pelajar Merbau, seiring dengan pembukaan Kampung Pelajar Cengal (kini “Kolej Tun Abdul Razak”) dan Kampung Pelajar Resak (kini “Kolej Tun Dr.Ismail”).

Pemilihan nama “Merbau” adalah berteraskan kepada dasar universiti, menamakan setiap kampung pelajar menggunakan nama kayu-kayan tempatan. Namun, kampung ini lebih dikenali sebagai “Perkampungan Sukan dan Kebudayaan” disebabkan ramai atlit universiti ditempatkan di kampung ini. Penempatan para pelajar diuruskan oleh Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP). Permulaannya, Kampung Pelajar Merbau hanya menempatkan para siswa sahaja. Kejayaan demi kejayaan yang ditempah telah berjaya menaikkan martabat Kampung Pelajar Merbau dan menggilap kegemilangannya.

Menjelang semester Julai 1996/ 97, pihak universiti telah mencapai kata sepakat menukar nama kampung pelajar kepada nama yang lebih bertepatan dengan peredaran zaman. Kampung Pelajar telah ditukar kepada “Kolej Pelajar” manakala sistem penamaan diganti dengan sistem penomboran. Maka nama “Kolej Pelajar 4″ telah dipilih untuk mengantikan nama “Kampung Pelajar Merbau”. Rombakan penempatan pelajar juga berlaku dan pertama kalinya para siswi ditempatkan di “Kolej Pelajar 4″.

Hanya pada semester Julai sesi 97/98 barulah dirasmikan penukaran nama kolej sekali lagi iaitu Kolej Pelajar 4 kepada Kolej Tun Hussien Onn. Pembaharuan nama kolej ini diharapkan menjadi inspirasi kepada para siswa dan siswi agar berusaha lebih gigih dan mencontohi tokoh-tokoh negara yang ternama. Sistem pentadbiran suatu organisasi itu akan lebih teratur sekiranya wujud seorang ketua yang berwibawa dan berkarisma.