Pusat Teknologi Gas (GASTEG), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melakar sejarah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Industri anjuran Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, 11 Oktober lalu.
Turut menerima anugerah yang bagi kategori yang sama yang menawarkan hadiah wang tunai RM10 ribu, trofi dan sijil ialah Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS) dan Institut Latihan Kemahiran Mara, Lumut.
GASTEG telah diwakili oleh Prof. Dr. Ariffin Samsuri, Dekan Fakulti Kejuruteraan Petroleum & Kejuruteraan Tenaga Diperbahrui (FPREE), Prof. Madya Engr. Dr. Rahmat Mohsin, Pengarah GASTEG dan Prof. Dr. Zulkefli Yaacob, Timbalan Dekan Pembangunan dan Pengajian Siswazah FPREE.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Dato’ Sri Peter Chin Fah Kui di Majlis Anugerah Industri Tenaga 2011, di ibu negara yang dianjurkan bagi menghargai sumbangan cemerlang institusi dan individu yang terlibat di sektor industri tenaga di dalam pembangunan industri tersebut sehingga ke hari ini.
http://www.news.utm.my/2011/10/gasteg-raih-anugerah-kecemerlangan-industri/
