Dr. Mohd Ibrahim Seeni Mohd Terima Profesor Emeritus

Johor Bahru, 26 Oktober – Dr. Mohd. Ibrahim Seeni Mohd berkelulusan Remote Sensing dari University of Dundee (United Kingdom) merupakan mantan Profesor Remote Sensing di UTM telah dianugerahkan Profesor Emeritus bersempena Majlis Konvokesyen UTM kali ke-51. Penghargaan ini adalah sebagai mengiktiraf jasa dan kepakaran beliau sepanjang berkhidmat di UTM sehingga kini. Beliau merupakan antara pakar rujuk pengajaran dalam bidang Elementary Surveying, Engineering Surveying dan Photogrammetry. Semasa di UTM, Dr. Mohd. Ibrahim pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan, Timbalan Dekan (Akademik) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi pada tahun 2001. Kredibiliti dan ketokohan beliau terus diiktiraf apabila dilantik menjadi Dekan (Sains) di Sekolah Pengajian Siswazah.

Sumbangan lain Dr. Ibrahim termasuk pelantikan sebagai konsultan kepada beberapa projek perundingan bidang Remote Sensing Negara seperti Petronas, MADA, DARA, MACRES dan FRIM. Beliau aktif dalam penulisan artikel jurnal di mana beliau telah menghasilkan lebih 70 artikel di peringkat antarabangsa dan lebih 20 artikel dalam jurnal peringkat kebangsaan. Beliau turut menerbitkan 14 buah jurnal berkaitan bidang kepakaran beliau sendiri. Menyelurusi sumbangan lain, beliau telah dilantik menganggotai The Japan Society for Promotion of Science (JSPS) Multilateral Cooperative Research bersama Kyushu University dalam Water Circulation and the Process of Material Transport on the Coastal Areas and Marginal Seas of South East Asia from Satellite Remote Sensing pada tahun 2001 sehingga kini. Beliau turut mendapat pengiktirafan daripada sidang editor jurnal antarabangsa apabila dilantik sebagai pewasit kepada beberapa jurnal antarabangsa. Beliau juga merupakan National Coordinator for Japan Society for Promotion of Science (JSPS) Multilateral Cooperative Research Programme for Malaysia sehingga kini selain memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden bagi Persatuan Remote Sensing Malaysia dan turut aktif sebagai ahli kepada Institution of Surveyors Malaysia (MISM) dan Malaysian Remote Sensing Society (MRSS).