BismillahirahmanirrahimAssalamualaikum.wrmt.wbkth,

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Pertamanya, marilah kita sama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T di atas segala rahmat dan kasihNya, kita dikurniakan kesempatan untuk meraikan Hari Raya Idil Fitri pada tahun ini. Marilah kita memaknai 1 Syawal 1437H, hari kemenangan ini dengan penuh rasa ketaqwaan, keimanan dan kesyukuran dengan lafaz kalimah takbir, tahmid dan tasbih memuji Allah Yang Maha Esa atas segala kurniaanNya.

Saya berharap tarbiyyah dan ibadah di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak yang telah kita lalui berjaya membentuk peribadi yang kukuh dan menjadikan kita insan yang lebih baik dan positif.  Justeru, dengan ketibaan Hari Lebaran yang menjelang ini, marilah sama-sama kita saling mengeratkan silaturrahim, mengukuhkan persaudaraan dan seterusnya bersatu hati dan berganding bahu dalam memikul tanggungjawab sebagai warga UTM bagi membangunkan modal insan, meneroka ilmu dan teknologi dan merangsang budaya inovasi ke arah kesejahteraan dan kemakmuran sejagat.

Kepada warga UTM yang akan pulang ke kampung, sentiasalah berwaspada, beretika dan mematuhi undang-undang semasa memandu di jalan raya. Jagalah keselamatan diri dan keluarga di sepanjang perayaan ini dan kembali semula ke kampus dengan selamat dengan semangat baharu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi meneruskan perjuangan ke arah kecemerlangan UTM.

Semoga bulan Ramadhan dapat membentuk kehidupan kita untuk terus istiqamah dan beribadah kepada Allah S.W.T. Bagi meraikan Idil Fitri ini, Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menghidupkan malam raya Idil Fitri dan Idil Adha dengan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya semua hati” (H.R. Muslim & Ibnu Abbas).

Akhir kata, saya dan keluarga secara ikhlas menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua staf, mahasiswa dan warga UTM atas apa jua kesilapan yang dilakukan selama ini.

1 Syawal hari kemenangan

Disambut dengan penuh kesyukuran

Salam Idil Fitri saya ucapkan

Mohon dimaafi segala kesalahan

 

Ketupat dianyam di tepian laman

Lemang dibakar penyeri hidangan

Berhati-hati di sepanjang perjalanan

Semoga selamat sampai ke destinasi tujuan

 

Selamat Hari Raya Idil Fitri, maaf zahir dan batin.

Taqobbalallahu minna wa minkum

 

Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar

Naib Canselor

……………………………………………………..