Selaras dengan pengumuman kerajaan pada 15 Jun 2020, Masjid UTMKL kini dibuka untuk solat fardhu lima waktu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Walau bagaimana pun, jemaah yang bergejala, menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

Bilangan jemaah dihadkan kepada 1/3 dari ruang dewan solat utama masjid dan terhad kepada warganegara sahaja. 
 Ruang solat hanya dibuka sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selesai doa dibacakan. 



Selain itu, jemaah yang hadir wajib mematuhi syarat berikut:

  1. Setiap jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah sebelum hadir ke masjid.
  2. Setiap jemaah hendaklah memakai pelitup muka dan membawa sejadah masing-masing. Jemaah yang tidak memenuhi syarat ini tidak dibenarkan masuk ke ruang solat.
  3. Jemaah dikehendaki masuk dan keluar melalui pintu yang ditetapkan dalam keadaan tenang.
  4. Sebelum masuk ke ruang solat, setiap jemaah perlu membuat pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran yang disediakan.
  5. Tidak bersalaman dan bersentuhan sepanjang berada di masjid.
  6. Dilarang berkumpul dan hendaklah segera meninggalkan masjid selepas solat.
  7. Tidak dibenarkan berpusu-pusu di pintu dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial ketika masuk dan keluar masjid.

Dimaklumkan juga bahawa laluan Pintu Masjid tidak dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan-Pemulihan (PKPP), bagi melancarkan pemantauan keselamatan dan kawalan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan Universiti. 

Oleh yang demikian, kehadiran komuniti Masjid UTMKL untuk solat berjemaah tertakluk kepada kebenaran Seksyen Keselamatan UTM.

Dengan ini kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan agar seluruh muslimin dan muslimat warga UTMKL dan komuniti Masjid UTMKL memanfaatkan kelonggaran ini bagi mendapatkan kelebihan melaksanakan solat secara berjamaah di masjid. Kami juga mengalu-alukan sumbangan derma untuk disalurkan sama ada melalui tabung-tabung yang disediakan di masjid atau melalui Akaun Masjid (Bank Islam No. 14032010039005). Semoga Allah memberkati dan melindungi kita dari sebarang penyakit dan musibah.

Sekian. Terima kasih.

DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Penolong Pengarah
Pusat Islam UTMKL
17 Jun 2020